Berita Dunia
Bekas Presiden Brazil jalani hukuman 27 tahun didapati bersalah cuba rampas kuasa daripada presiden baharu
BRASILIA 26 Nov – Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro kini secara rasmi memulakan hukuman penjara 27 tahun selepas Mahkamah Agung negara itu menegaskan sabitan terhadapnya muktamad, sekali gus menamatkan semua ruang rayuan yang pernah difailkan beliau.
Tokoh konservatif berusia 70 tahun itu, yang pernah menguasai politik Brazil dengan gaya lantang dan populis, kini ditempatkan di sebuah bilik kecil di ibu pejabat polis persekutuan lengkap dengan televisyen, peti sejuk mini dan penyaman udara.
Bolsonaro disabitkan pada September lalu kerana merancang usaha untuk menghalang Presiden baharu, Luiz Inacio Lula da Silva daripada mengangkat sumpah selepas pilihan raya 2022.
Beliau turut didapati bersalah terlibat dalam komplot untuk membunuh pemimpin berhaluan kiri itu.
Bagaimanapun, pendakwa raya menjelaskan cubaan berkenaan gagal kerana Bolsonaro tidak mendapat sokongan kepimpinan tertinggi tentera.
Awal bulan ini, Mahkamah Agung menolak rayuan terakhir Bolsonaro dan memutuskan semalam bahawa keputusan sabitan itu kini kekal dan muktamad. Tribunal tentera juga diarahkan menentukan sama ada Bolsonaro wajar dilucutkan pangkat ketenteraan sebagai bekas kapten tentera.
Hakim Alexandre de Moraes berkata, terdapat petunjuk bahawa Bolsonaro merancang untuk melarikan diri semasa satu perhimpunan penyokongnya yang dianjurkan anak beliau, dengan menyebut lokasi kedutaan Amerika Syarikat yang berhampiran serta hubungan rapat Bolsonaro dengan Donald Trump sebagai faktor kemungkinan beliau cuba mendapatkan suaka politik.
Namun Bolsonaro menafikan cubaan melarikan diri, mendakwa tindakan dan kebimbangannya dipengaruhi ubat-ubatan yang diambil.
Pemimpin yang memerintah dari 2019 hingga 2022 itu tetap mempertahankan dirinya tidak bersalah dan mendakwa beliau menjadi mangsa pendakwaan bermotifkan politik. – AFP
Berita berkaitan
July 31, 2026, 11:25 am
Kerajaan Sepanyol arah tentera kawal ratusan migran berenang dari Maghribi ke Ceuta
July 30, 2026, 11:53 am
CCTV rakam kucing kesan gempa bumi lebih awal di Jepun
July 29, 2026, 5:54 pm
Ahli politik Kanada dikecam lepas baca arahan AI masa sidang dewan
July 28, 2026, 6:23 pm
Nyaris dibawa arus, aksi 'heroic' pengawal pantai selamatkan nyawa kanak-kanak dipuji ramai
July 28, 2026, 3:47 pm
Remaja 15 tahun ditahan susulan insiden tembakan di 'food fest'
July 27, 2026, 8:05 pm
'Tak sangka jadi macam ini', aisbeg gergasi terbalik depan mata
July 27, 2026, 11:15 am
Rupiah susut teruk akibat konflik Asia Barat, Gabenor Bank Indonesia letak jawatan lebih awal
July 26, 2026, 8:12 pm
Tiada rakyat Malaysia terjejas di Berlin
July 26, 2026, 4:15 pm
Trump arah tentera AS tangguh serangan ke atas Iran
July 26, 2026, 1:03 pm
