TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes tembak dalam kereta: Pengawal peribadi maut, majikan dengan 15 rekod jenayah parah

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 10 Dis - Seorang lelaki maut ketika menerima rawatan di hospital manakala rakannya parah selepas kedua-duanya ditembak di Jalan Rasah berhampiran Plaza Tol Port Dickson, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, dua lelaki warga tempatan yang berada dalam sebuah Perodua Myvi dilaporkan ditembak individu tidak dikenali sebelum orang awam yang berada di lokasi bertindak membawa kedua-duanya ke Hospital Tunku Jaafar (HTJ).

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata mangsa yang cedera parah mempunyai 15 rekod jenayah membabitkan pelbagai kesalahan.

“Polis menerima panggilan kecemasan pada jam 7.53 pagi daripada seorang lelaki memaklumkan mengenai insiden berkenaan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke HTJ dan dimasukkan ke Zon Merah dalam keadaan kritikal. Namun, mangsa berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia ketika dirawat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi kejadian menemui tompokan darah serta beberapa kelongsong peluru dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Mangsa yang maut dipercayai berkhidmat sebagai pengawal peribadi kepada mangsa kedua. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

 

+ - reset