Berita Berita
LRT Laluan Shah Alam tidak akan beroperasi tahun ini – Prasarana
KUALA LUMPUR 10 Dis – Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) mengesahkan bahawa LRT Laluan Shah Alam tidak akan beroperasi tahun ini susulan beberapa isu teknikal yang masih belum diselesaikan.
Perkara itu dimaklumkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, dalam satu taklimat media di Stesen Stadium Shah Alam, lapor Berita Harian.
Dalam kenyataan, Prasarana selaku pemilik aset bersama Setia Utama LRT3 Sdn Bhd (SULRT3) sebagai kontraktor utama projek berkata, sebanyak 33 isu teknikal membabitkan ralat perisian dan gangguan sistem dikenal pasti sepanjang 2.5 bulan ujian larian tanpa gagal (FFR), menyebabkan peralihan ke fasa operasi percubaan terpaksa ditangguhkan.
Menurut Prasarana, isu berkenaan melibatkan faktor keselamatan, operasi dan prestasi sistem yang memerlukan tindakan pembetulan segera sebelum operasi boleh dipertimbangkan.
Projek itu kini berada dalam Fasa Pengujian dan Pentauliahan (T&C) yang merangkumi ujian percubaan, FFR dan operasi percubaan sebelum semua dokumen teknikal dihantar kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) untuk permohonan lesen pengendali rel.
“FFR yang bermula 26 Ogos 2025 adalah ujian integrasi menyeluruh melibatkan sistem penting seperti isyarat, komunikasi, set tren LRT dan kawalan bagi memastikan semua komponen berfungsi stabil serta selamat.
“Antara masalah dikenal pasti termasuk tren gagal berhenti tepat di platform sehingga menjejaskan fungsi pintu, tren tidak dapat meneruskan perjalanan secara automatik ke stesen seterusnya, serta kelajuan tren tidak mengikut program ditetapkan, termasuk pergerakan minima ketika tren sepatutnya pegun,” katanya.
Prasarana menjelaskan bahawa semua isu sedang dianalisis kontraktor isyarat, pembuat tren dan SULRT3, dengan kerja penambahbaikan perisian giat dilaksanakan bagi meningkatkan kestabilan dan kebolehpercayaan sistem.
Bagi tren utama atau Golden Train, ujian FFR mewajibkan pemanduan tanpa henti sejauh 4,000km, manakala set tren lain perlu melengkapkan antara 2,500 hingga 3,000km sebelum layak beroperasi.
Setakat ini, 11 percubaan FFR dilaksanakan, namun jarak perbatuan yang disyaratkan masih belum dipenuhi berikutan beberapa isu teknikal yang dikesan.
Prasarana menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap keselamatan, keandalan dan kestabilan sistem, selaras piawaian ketat Apad sebelum kelulusan operasi diberikan.
“Semua kerja pembaikan dan penambahbaikan kini menjadi keutamaan bagi memastikan Laluan Shah Alam benar-benar stabil, selamat dan beroperasi pada tahap optimum sebelum dibuka kepada orang ramai.”
Lebih 800 kakitangan telah melengkapkan latihan mandatori sebagai persediaan pengoperasian laluan itu. Rapid Rail turut menjalankan latihan lapangan dengan menempatkan petugas barisan hadapan di laluan sedia ada bagi pendedahan tambahan, khususnya dalam pengurusan orang ramai.
Latih amal Pelan Tindakan Kecemasan turut dijalankan pada 12 November lalu bagi menguji kecekapan tindak balas krisis dan memperkukuh koordinasi kakitangan stesen serta agensi penyelamat.
Berita berkaitan
December 10, 2025, 12:47 pm
Menu Malaysia-India 'mendunia', Mano Thevar jadi cef Malaysia pertama raih dua bintang Michelin di Singapura
December 10, 2025, 12:01 pm
Tiga remaja ditahan kes samun pemandu e-hailing di Johor Bahru
December 10, 2025, 11:57 am
Dua penghuni maut dalam kebakaran rumah di Taman Teluk Air Tawar
December 10, 2025, 11:50 am
Tiga lelaki jatuh laut di Pulau Pinang dalam tempoh 24 jam
December 10, 2025, 11:49 am
Lelaki warga Bangladesh masuk tandas wanita di Terminal Bas Kulai ditahan
December 10, 2025, 11:28 am
UMNO masih bersedih, belum sedia bincang pengganti Bung
December 10, 2025, 11:13 am
Lelaki warga asing mengamuk guna senjata di pangsapuri di Kepong
December 10, 2025, 10:59 am
Dua lelaki cedera ditembak dalam kereta di Seremban
December 10, 2025, 10:50 am
