TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu dana zakat Pulau Pinang: MAINPP nafi keputusan dibuat secara solo

By
|
Kongsi
image

SEBERANG PERAI 3 Feb – Kontroversi dakwaan penyalahgunaan dana zakat di Pulau Pinang terus mendapat perhatian apabila Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan pembelian tanah bukan dibuat secara individu, sebaliknya melalui proses perbincangan dan persetujuan bersama jawatankuasa berkaitan.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, siasatan yang sedang dijalankan tidak tertumpu kepada dirinya semata-mata, sebaliknya melibatkan keseluruhan institusi MAINPP.

Menurut beliau, semua keputusan berkaitan pengurusan dana zakat dibuat melalui proses rasmi yang melibatkan peringkat jawatankuasa sebelum diangkat ke lembaga pengarah.

“Keputusan yang dibuat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan adalah hasil keputusan bersama melalui proses jawatankuasa dan MAINPP, bukan keputusan seorang individu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah (MAPAF) dan penyerahan sumbangan Ihya Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 1447H / 2026M di Bertam, hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menjelaskan, setiap keputusan melibatkan dana zakat khususnya berkaitan pembelian tanah dibuat secara kolektif dan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

“Kalau di MAINPP, keputusan berkaitan zakat dibuat di peringkat jawatankuasa dan diangkat ke lembaga pengarah. Maka keputusan itu adalah keputusan bersama,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata proses pembelian tanah adalah berdasarkan keputusan lembaga pengarah zakat yang bertujuan membantu golongan asnaf, termasuk penggunaan dana wakaf serta pengurusan tanah lebihan yang telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam.

Isu berkenaan sebelum ini mencetuskan perdebatan awam apabila timbul dakwaan penggunaan dana zakat bagi pembelian tanah, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai ketelusan dan tadbir urus institusi berkaitan.

+ - reset