TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bercampur lelaki dan perempuan, Kelantan rampas cagaran penganjur Makar Fest XL, dakwa langgar garis panduan hiburan

By
|
Kongsi
image

 

KOTA BHARU 3 Feb – Kerajaan Kelantan mengambil tindakan terhadap penganjur program Makar Fest XL selepas mendapati berlaku pelanggaran syarat dan garis panduan hiburan ketika konsert berlangsung di Tunjung, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, pelanggaran syarat itu dikesan melibatkan penonton semasa persembahan Kugiran Masdo pada konsert penutup sekitar jam 10.30 malam.

Menurutnya, penguat kuasa telah mengeluarkan beberapa penonton yang melakukan provokasi serta kumpulan penonton yang melanggar garis panduan hiburan, namun keadaan gagal dikawal sepenuhnya oleh pihak penganjur dan perbuatan sama terus berulang.

"Penganjur didapati cuai/gagal/enggan untuk menghentikan persembahan untuk mengawal keadaan.

"Turut dikesan adalah berlakunya percampuran antara pengunjung lelaki dan wanita tanpa ditempatkan petugas keselamatan secukupnya sebagaimana disyaratkan," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Hilmi berkata, selepas meneliti laporan bertulis daripada Pengarah Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan serta menonton rakaman video yang tular, Pegawai Pelesen mendapati penganjur melakukan kesalahan mengikut Seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025, selain gagal mematuhi syarat lesen serta Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025.

Katanya, susulan itu wang cagaran penganjur berjumlah RM8,000 dirampas.

"Penganjur juga boleh dikenakan penalti maksimum sehingga RM30,000 dan nama boleh disenarai hitam jika gagal membayar kompaun itu," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi kira-kira 40 saat tular di media sosial memaparkan sekumpulan pengunjung menari sambil melompat-lompat ketika menyaksikan persembahan pentas di program Makar Fest XL.

Mengulas lanjut, Hilmi berkata, program berbentuk ekspo jualan dan makanan selama tiga hari bermula 29 Januari hingga Sabtu lalu yang diadakan di tapak parkir Mydin Mall Tunjung itu turut menampilkan beberapa persembahan hiburan melibatkan artis tempatan.

Beliau berkata, penganjuran festival makanan berkenaan bertujuan menyediakan medium perniagaan kepada usahawan kecil, peniaga tempatan serta penggiat seni, selain menjadi platform pertemuan komuniti dan peminat seni.

Program itu mendapat kelulusan hiburan daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025, namun penganjur diwajibkan mematuhi Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025 sepanjang tempoh penganjuran.

"Hasil pemantauan sepanjang festival, semua artis jemputan seperti Sabri Yunus, Wan Hanafi Su, Zack Budak Kacamata, Budak Nakal Hujung Simpang dan Wargaswara serta artis dikir berjaya mematuhi enakmen dan garis panduan yang ditetapkan.

"Kerajaan negeri amat memahami dan meraikan keperluan rakyat untuk berhibur, bahkan amat menyokong sebarang penganjuran program atau festival makanan yang dapat menjana pendapatan kepada peniaga kecil di samping turut mempromosikan Kelantan sebagai lokasi pelancongan bertemakan 'Food, Family, Festival'.

"Namun, kerajaan negeri juga amat konsisten dalam memastikan bahawa adab, budaya dan akhlak khususnya generasi muda mesti dijaga dan dipelihara.

"Kerajaan negeri akan terus menyokong sebarang penganjuran festival makanan oleh mana-mana penganjur pada masa hadapan dengan pematuhan kepada peraturan dan garis panduan hiburan yang diterima pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan," katanya.

+ - reset