Berita Berita
'KJ dan Nik Nazmi pun sokong' - Anthony Loke tegur jangan ada pihak cuba polemikkan kajian pilihan raya Datuk Bandar KL
KUALA LUMPUR 3 Feb – Kajian berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika ini hanya bertujuan menilai kebolehlaksanaannya dan tidak seharusnya dijadikan polemik seolah-olah keputusan muktamad telah dibuat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, selain meneliti sama ada konsep pemilihan datuk bandar boleh dilaksanakan atau sebaliknya, kajian berkenaan turut mengambil kira kelebihan dan kekurangan cadangan itu.
"Konsep pemilihan datuk bandar bukanlah perkara baharu dan telah diamalkan di banyak negara demokrasi di seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan kajian itu dilaksanakan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sejak Disember lalu, susulan Rang Undang-Undang Persendirian yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 untuk melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Loke berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai kedudukan berbeza berbanding pihak berkuasa tempatan di negeri-negeri lain memandangkan Datuk Bandar Kuala Lumpur dilantik oleh kerajaan Persekutuan.
Beliau turut menegaskan isu berkenaan tidak wajar dilabel sebagai agenda mana-mana parti politik kerana ia turut dicadangkan oleh pelbagai pihak sebelum ini.
"Jadi, saya lihat bahawa ini bukan isu DAP. Ramai juga pihak lain telah pun mencadangkannya termasuk (bekas Menteri Kesihatan) Khairy Jamaluddin yang baru-baru ini dalam satu forum secara terbuka mengatakan bahawa Kuala Lumpur sepatutnya ada pemilihan datuk bandar supaya ada lebih banyak accountability (kebertanggungjawapan)," katanya.
Sementara itu, Loke berkata kerajaan mewajibkan semua ejen tiket dalam talian (OTA) mengintegrasikan kod QR secara terus ke dalam setiap tiket bas ekspres yang dijual bermula bulan ini.
Langkah itu, katanya, bertujuan mengatasi kesesakan di TBS yang sebelum ini memerlukan penumpang beratur panjang di kaunter semata-mata untuk menukar tiket OTA kepada kod QR.
"Mulai bulan ini, semua penjualan tiket melalui OTA mesti ada kod QR. Jadi untuk mana-mana tiket yang akan dibeli, mereka tidak perlu lagi menukar kod QR secara fizikal apabila sampai ke TBS," katanya.
Menurutnya, bagi penumpang yang telah membeli tiket bas sebelum Februari dan tidak mempunyai kod QR, mereka masih boleh mendapatkan kod tersebut secara dalam talian melalui portal rasmi TBS dengan bayaran RM1 atau hadir ke kaunter.
Dalam perkembangan lain, Loke memaklumkan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bandar Sri Permaisuri akan berpindah ke TBS bermula Mac ini.
"Pejabat lama terletak di lot kedai dan menyebabkan keadaan sekitar sesak dengan orang ramai yang hendak berurusan dengan JPJ. Di lokasi baharu ini, ia lebih mesra pengguna dan mempunyai ruang parkir yang banyak dan mudah dicapai dengan pengangkutan awam," katanya.
Berita berkaitan
February 3, 2026, 8:21 pm
Warga asing disyaki bersenjata ‘pistol’ ditahan di kondominium, polis siasat motif sebenar
February 3, 2026, 5:32 pm
Suspek tikam ibu sampai mati di Alor Setar ada masalah kewangan, polis cari senjata digunakan
February 3, 2026, 5:28 pm
Warga emas maut dirempuh kereta ketika ke surau untuk solat Maghrib
February 3, 2026, 5:20 pm
Anwar hilang sabar: pegawai lindungi penyeludupan e-waste akan diambil tindakan tanpa kompromi
February 3, 2026, 5:06 pm
Penunggang motosikal maut dirempuh kereta selepas hantar isteri ke tempat kerja
February 3, 2026, 4:57 pm
JKN Negeri Sembilan siasat dakwaan restoran guna semula sisa makanan pelanggan
February 3, 2026, 4:45 pm
Sultan Selangor murka, mahu dalang bakar suar di Jambatan Angkat diberi hukuman maksimum
February 3, 2026, 4:43 pm
