TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lebih 21,000 remaja bawah 19 tahun hamil luar nikah sejak 2019

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 11 Feb – Seramai 21,114 remaja berusia 19 tahun ke bawah yang belum berkahwin direkodkan hamil sepanjang tempoh 2019 hingga 2024, berdasarkan data fasiliti kesihatan kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, statistik itu diperoleh daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi membendung isu kehamilan remaja luar nikah.

“Antara inisiatif utama ialah pembangunan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif serta membentuk individu yang bertanggungjawab dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) berhubung statistik kehamilan remaja luar nikah mengikut umur, jantina dan bangsa bagi tempoh 2019 hingga 2025.

Nancy menjelaskan, pelaksanaan PEKERTI menekankan pembangunan kemahiran kesihatan reproduktif yang positif dan selamat melalui pendidikan formal di sekolah serta pendidikan tidak formal di luar sekolah.

Katanya, pelan tindakan itu turut melibatkan kerjasama pelbagai kementerian menerusi Majlis Sosial Negara, termasuk memperluas pelaksanaan program di peringkat institusi pengajian tinggi dan komuniti, selain mempergiat promosi serta advokasi berkaitan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.

Selain itu, KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyediakan sokongan khusus kepada remaja menerusi Pusat Remaja KafeTEEN dan Program Sahabat KafeTEEN di sekolah.

“KafeTEEN diwujudkan bagi menyediakan ruang bimbingan dan pendidikan kepada remaja dalam membentuk kesejahteraan fizikal, mental dan sosial yang positif,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini terdapat 18 Pusat Remaja KafeTEEN, sebuah trak KafeTEEN serta program komuniti yang menawarkan perkhidmatan klinikal kesihatan reproduktif dan kaunseling psikososial.

“Program ini turut diperluaskan melalui latihan pendidik rakan sebaya di bawah Kelab KafeTEEN yang kini beroperasi di 143 sekolah menengah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy memaklumkan kerajaan akan melancarkan Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara yang baharu bagi memperkukuh institusi keluarga dan kestabilan sosial.

“Antara teras utama ialah memperkasakan keupayaan perancangan keluarga serta memperkukuhkan peranan ibu bapa dan remaja.

“Usaha menangani isu kehamilan remaja luar nikah ini perlu digembleng secara bersama demi masa depan generasi muda yang lebih sejahtera,” katanya.

+ - reset