TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hampir sejuta kenderaan membanjiri Kelantan sempena Tahun Baharu Cina dan Ramadan

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 11 Feb - Hampir sejuta kenderaan dijangka memasuki Kelantan sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan kedatangan Ramadan yang jatuh hampir serentak, sekali gus berpotensi mencetuskan peningkatan trafik di negeri itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata kebanyakan rakyat Kelantan memilih pulang ke kampung pada awal Ramadan bagi mengambil peluang berbuka puasa bersama keluarga.

Menurutnya, pertembungan dua musim perayaan itu dijangka menyebabkan lonjakan ketara kemasukan kenderaan ke Kelantan. Sehubungan itu, Op Selamat yang bermula Ahad ini hingga Jumaat depan akan memberi tumpuan kepada beberapa lokasi kritikal, khususnya di Gua Musang yang mempunyai banyak laluan sedang dalam pembinaan.

Beliau berkata, polis turut mengenal pasti beberapa laluan panas kemalangan dan kesesakan sepanjang tempoh perayaan berkenaan, dengan penempatan anggota tambahan bagi memastikan kelancaran aliran trafik.

Mohd Yusoff turut memaklumkan prestasi Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina tahun lalu mencatatkan pencapaian memberangsangkan bagi kontinjen Kelantan.

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), jumlah kemalangan jalan raya berjaya dikurangkan daripada 252 kes kepada 228 kes, iaitu penurunan sebanyak 10 peratus.

Lebih membanggakan, kemalangan maut turut menurun daripada lapan kes kepada hanya tiga kes, bersamaan pengurangan 63 peratus, selain tiada kemalangan atau kecederaan parah direkodkan sepanjang operasi berkenaan.

Katanya, pencapaian itu membuktikan keberkesanan perancangan serta komitmen tinggi pegawai dan anggota polis di lapangan.

+ - reset