Berita Ekonomi
Keuntungan bersih Maybank naik 4.2 peratus kepada RM10.51 bilion pada TK2025
KUALA LUMPUR 26 Feb – Malayan Banking Berhad (Maybank) mencatatkan peningkatan 4.2 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM10.51 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025), berbanding RM10.08 bilion pada tahun sebelumnya.
Prestasi positif itu disokong pertumbuhan pendapatan yang stabil, pengurusan kos berdisiplin serta kualiti aset yang kekal berdaya tahan.
Bagaimanapun, hasil merosot kepada RM66.36 bilion daripada RM68.94 bilion sebelum ini, menurut makluman bank itu kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pendapatan faedah bersih dan pendapatan perbankan Islam meningkat RM656.5 juta atau 3.1 peratus kepada RM21.81 bilion pada TK2025.
Pendapatan perkhidmatan insurans dan takaful turut melonjak RM471.2 juta atau 36.7 peratus tahun ke tahun kepada RM1.75 bilion.
Namun, pendapatan operasi lain susut sedikit kepada RM9.01 bilion daripada RM9.06 bilion, terutamanya disebabkan kerugian belum direalisasi nilai pasaran sebanyak RM66.4 juta ke atas liabiliti kewangan pada nilai saksama melalui untung atau rugi (FVTPL) serta keuntungan lebih rendah RM629.2 juta daripada pelupusan aset kewangan pada FVTPL.
Penyusutan itu sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan direalisasi lebih tinggi sebanyak RM1.00 bilion daripada derivatif, peningkatan keuntungan pertukaran asing RM297.6 juta, kerugian belum direalisasi lebih rendah RM767.3 juta ke atas derivatif serta keuntungan lebih tinggi RM212.7 juta daripada pelupusan pelaburan kewangan pada nilai saksama melalui pendapatan komprehensif lain (FVOCI).
Perbelanjaan overhed meningkat 2.6 peratus kepada RM14.83 bilion, didorong kos kakitangan lebih tinggi RM137.8 juta, perbelanjaan pentadbiran dan am RM126.4 juta, kos penubuhan RM106.3 juta serta perbelanjaan pemasaran RM8.5 juta.
Peruntukan bersih kerugian rosot nilai ke atas pinjaman, pendahuluan, pembiayaan dan hutang lain bertambah baik 66.4 peratus kepada RM562.1 juta, manakala peruntukan bersih kerugian rosot nilai pelaburan kewangan meningkat kepada RM847.2 juta.
Bagi suku keempat (S4) berakhir 31 Disember 2025, keuntungan bersih meningkat kepada RM2.67 bilion daripada RM2.53 bilion setahun sebelumnya, manakala hasil susut kepada RM15.81 bilion daripada RM16.73 bilion.
Pendapatan faedah bersih suku tahunan dan pendapatan perbankan Islam meningkat 7.6 peratus tahun ke tahun kepada RM5.77 bilion, manakala hasil perkhidmatan insurans dan takaful bertambah baik kepada RM584.6 juta.
Pendapatan operasi lain jatuh kepada RM1.49 bilion pada S4, terutamanya disebabkan keuntungan belum direalisasi nilai pasaran lebih rendah RM1.59 bilion ke atas liabiliti kewangan FVTPL serta keuntungan lebih rendah RM460.5 juta daripada pelupusan aset kewangan FVTPL.
Penurunan itu diimbangi kerugian belum direalisasi lebih rendah RM611.9 juta ke atas derivatif, keuntungan belum direalisasi RM444.6 juta ke atas pelaburan kewangan FVTPL, keuntungan pertukaran asing bersih RM75.5 juta serta keuntungan direalisasi derivatif lebih tinggi RM191.5 juta.
Peruntukan bersih kerugian rosot nilai pinjaman dan pembiayaan menurun RM435.9 juta pada suku berkenaan, manakala peruntukan rosot nilai pelaburan kewangan berjumlah RM175.4 juta.
Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Maybank, Zamzamzairani Mohd Isa berkata prestasi sepanjang tahun mencerminkan daya tahan francais yang pelbagai serta kekuatan imbangan kira-kira kumpulan.
Beliau berkata Maybank mencatat keuntungan dan pulangan lebih baik sambil mengekalkan penampan modal serta mudah tunai kukuh, disokong pengurusan risiko berhemah dan pelaksanaan berdisiplin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Shafiq Abdul Jabbar berkata 2025 menandakan berakhirnya strategi M25+ bank itu, yang menyaksikan pengukuhan francais serantau, pecutan transformasi digital serta peningkatan keupayaan berpusatkan pelanggan.
Sehubungan itu, Maybank mengisytiharkan dividen tunai interim kedua sebanyak 33 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi TK2025 sebanyak 63 sen sesaham, bersamaan nisbah pembayaran 72.4 peratus dan hasil dividen 6.0 peratus.
Berita berkaitan
February 19, 2026, 2:21 pm
Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026
February 19, 2026, 12:18 pm
KWSP tambah pegangan Sunway susulan tawaran ambil alih IJM bernilai RM11b
February 12, 2026, 10:30 am
Hijrah Selangor perkukuh kerjasama dengan TERAJU, perkasa masa depan usahawan ke peringkat lebih tinggi
December 18, 2025, 12:12 pm
Ringgit kukuh ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun berbanding dolar AS
December 17, 2025, 1:25 pm
Perodua lancar traz SUV baharu, sasaran jualan 1,900 unit sebulan
December 1, 2025, 11:32 am
Perodua perkenal EV pertama QV-E berharga RM80,000
November 18, 2025, 5:45 pm
Saga Serba Baharu cipta fenomena, satu tempahan diterima setiap 43 saat
November 17, 2025, 11:45 am
Pendapatan pelaburan KWSP melonjak RM63.99 bilion dalam sembilan bulan
November 14, 2025, 5:03 pm
