Berita Dunia
'I got power' - Trump pilih perang sebab bosan dunia aman
WASHINGTON 2 Mac – Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan serangan ketenteraan besar-besaran ke atas Iran mencetuskan perdebatan hangat, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju dasar luar pentadbirannya pada penggal kedua.
Ironinya, dalam satu rancangan televisyen lewat malam di AS pada Sabtu, pengacara menyiarkan klip tahun 2011 yang memaparkan seorang ahli perniagaan memberi amaran bahawa Presiden Barack Obama akan memulakan perang dengan Iran kerana beliau langsung tidak mempunyai keupayaan untuk berunding.
Ahli perniagaan itu ialah Trump. Lima belas tahun kemudian, beliau yang kini kembali memegang jawatan presiden untuk penggal kedua telah mengarahkan serangan ketenteraan terhadap negara berkenaan.
Sebagai ketua angkatan tentera, Trump berulang kali mengisytiharkan dirinya sebagai 'Presiden Keamanan', membanggakan keupayaannya menamatkan konflik global melalui rundingan serta mendakwa beliau dinafikan Hadiah Nobel Keamanan.
Kebangkitannya ke tampuk kuasa pada 2016 melalui platform 'America First' sebahagiannya didorong penolakannya terhadap peperangan berdarah yang dilancarkan AS di Iraq dan Afghanistan.
Ketika kembali berkempen pada 2024, beliau berulang kali menegaskan bahawa beliau tidak memulakan sebarang perang baharu.
Selepas kembali ke Rumah Putih, beliau mengkritik apa yang digelarnya sebagai 'pembina negara kononnya' yang 'memusnahkan lebih banyak negara daripada yang dibina'.
Awal tahun ini, Trump turut mengadakan mesyuarat pertama Lembaga Keamanan beliau iaitu sebuah badan yang pada asalnya diwujudkan untuk mempertahankan gencatan senjata di Gaza tetapi kemudian berkembang menjadi seakan-akan versi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan penyertaan beberapa pemimpin autoritarian.
Apabila Akademi Nobel tidak memilihnya, Trump menerima anugerah keamanan daripada badan induk bola sepak dunia, FIFA, yang dilihat seolah-olah diwujudkan khas untuknya.
Kejutan besar
Namun pada tahun kedua penggal keduanya, Trump kini dilihat lebih selesa menggerakkan perang daripada berdamai.
Dalam tempoh kurang dua bulan, individu yang suatu ketika dahulu menolak perubahan rejim kini menyokong operasi ketenteraan yang menjatuhkan presiden Venezuela dan membunuh pemimpin tertinggi Iran.
Beliau juga mengancam untuk mengambil alih Greenland secara ketenteraan daripada sekutu NATO, Denmark.
“Semua ini merupakan satu kejutan besar,” kata Richard Haass, bekas diplomat dalam pentadbiran Presiden George W. Bush.
“Pentadbiran itu sebelum ini tidak menunjukkan minat terhadap perubahan rejim atau promosi demokrasi di tempat lain,” tulis Haass dalam buletinnya.
Sebagai pewaris empayar hartanah, Trump sendiri mengelak draf ketenteraan semasa perang Vietnam.
Namun bekas pelajar akademi ketenteraan itu menunjukkan minat terhadap simbol ketenteraan, sering dikelilingi anggota tentera dan melawat tapak-tapak ketenteraan.
Beliau kerap membanggakan kekuatan tentera AS, termasuk serangan tahun lalu terhadap kemudahan nuklear Iran, serta mendakwa beliau memulihkan kegemilangan angkatan tentera negara dengan kapal perang baharu walaupun pengkritik menyifatkannya mudah menjadi sasaran peluru berpandu.
‘Saya ada kuasa’
Persoalan kini ialah bagaimana peperangan Trump akan memberi kesan kepada pengundi AS, khususnya penyokongnya yang percaya kepada janji untuk menamatkan 'perang tanpa penamat'.
Ujian besar pertama ialah kesediaan rakyat AS menerima korban tentera, susulan pengumuman Ahad mengenai tiga anggota perkhidmatan pertama yang terkorban dalam operasi menentang Iran.
Menurut tinjauan Reuters/Ipsos yang diterbitkan Ahad, hanya satu daripada empat rakyat AS menyokong serangan tersebut, manakala 43 peratus tidak bersetuju.
Isu peperangan Trump mungkin menjadi faktor penting dalam pilihan raya pertengahan penggal November ini, ketika Parti Republikan bimbang kehilangan kawalan Dewan Perwakilan.
Trump juga ketinggalan dalam tinjauan pendapat, sebahagian besarnya kerana pengundi masih terkesan dengan kos sara hidup isu yang boleh menjadi lebih buruk jika harga minyak melonjak susulan serangan ke atas Iran.
Kesan terhadap penyokong terasnya turut menjadi kebimbangan. Bekas tokoh lantang “Make America Great Again”, Marjorie Taylor Greene, yang berpisah haluan dengan Trump tahun lalu, menyifatkan serangan ke atas Iran sebagai satu 'pembohongan'.
Namun Trump tidak menyembunyikan rasa bangganya memimpin tentera paling berkuasa di dunia.
Ketika meraikan pasukan hoki ais Florida Panthers di Rumah Putih pada Januari, beliau berseloroh bahawa beliau cemburu melihat pemain yang 'kacak dan penuh kuasa'.
“Tetapi saya juga ada kuasa — ia dipanggil tentera AS,” katanya. – AFP
Berita berkaitan
April 29, 2026, 9:10 am
Bekas Wanita Pertama Korea Selatan dipenjara 4 tahun
April 28, 2026, 11:31 am
Prabowo rombak Kabinet, lantik menteri, pegawai kanan baharu
April 28, 2026, 8:18 am
Tujuh maut, dua tren bertembung di Bekasi
April 23, 2026, 1:17 pm
Trump nafi tetapkan tarikh tamat perang AS-Israel dengan Iran
April 22, 2026, 11:15 am
Pesawat tak boleh terbang, penumpang easyJet diarah turun gara-gara terlebih had berat
April 22, 2026, 9:32 am
Trump umum lanjutan gencatan senjata dengan Iran, rundingan damai diteruskan
April 13, 2026, 10:41 am
Harga minyak global melonjak semula susulan sekatan AS ke atas Selat Hormuz
April 10, 2026, 1:15 pm
Trump beri amaran kepada Iran henti caj kapal tangki minyak lalu Selat Hormuz
April 6, 2026, 8:00 pm
Kapal pertama Malaysia melepasi Selat Hormuz, Iran tunai janji kepada 'rakan setia'
April 6, 2026, 10:31 am
