TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Jaga-jaga, banyak negara mulakan langkah penjimatan tenaga susulan konflik AS-Israel dan Iran

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 11 Mac - Konflik yang semakin meruncing antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran yang memasuki hari ke-11 pada Selasa mula memberi kesan kepada ekonomi dan bekalan tenaga di seluruh dunia apabila gangguan bekalan minyak serta gas global mencetuskan kekurangan bahan api dan kenaikan harga.

Ketegangan di Asia Barat itu turut mendorong beberapa negara melaksanakan langkah kecemasan bagi mengawal penggunaan tenaga serta memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi ketika pasaran minyak global berdepan ketidaktentuan.

Di India, pihak berkuasa mengambil langkah mengawal selia pengeluaran dan pengedaran gas asli bagi memastikan bekalan mencukupi untuk sektor keutamaan termasuk isi rumah dan pengangkutan susulan gangguan penghantaran gas asli cecair (LNG) akibat konflik tersebut, lapor Anadolu Ajansi.

Ahli Parlimen negara itu turut menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan gas petroleum cecair (LPG) dengan hotel dan restoran di bandar utama seperti Mumbai dilaporkan terpaksa menghentikan operasi kerana kekurangan bekalan gas memasak, menurut Xinhua.

Sementara itu, Mesir dan Sri Lanka bertindak menaikkan harga bahan api domestik susulan lonjakan kos tenaga global.

Mesir menaikkan harga petrol dan diesel antara 14 hingga 17 peratus manakala Sri Lanka turut menaikkan harga runcit bahan api berikutan ketidaktentuan pasaran minyak mentah.

Pakistan pula mengumumkan beberapa langkah penjimatan tenaga termasuk mengurangkan peruntukan bahan api bagi kenderaan kerajaan kepada separuh serta melaksanakan aturan bekerja dari rumah untuk kakitangan sektor awam dan swasta, selain menutup sekolah selama dua minggu.

Reaksi negara Asia

Langkah serupa turut dilaksanakan di beberapa negara Asia lain. Thailand mengarahkan agensi kerajaan melaksanakan aturan bekerja dari rumah serta menggantung lawatan rasmi ke luar negara bagi mengurangkan penggunaan tenaga.

Vietnam pula menggalakkan kerja jarak jauh, penggunaan pengangkutan awam dan pelbagai langkah penjimatan bahan api sementara pihak berkuasa memantau kesan konflik Asia Barat terhadap bekalan bahan api dan pasaran tenaga global.

Dalam perkembangan lain, ketegangan ketenteraan di rantau Asia Barat terus memuncak.

Di selatan Lubnan, empat individu cedera selepas serangan udara Israel mengenai beberapa bandar termasuk Breykaah, Kfarsir dan Deir Antar yang memusnahkan sebuah bangunan kediaman serta mencetuskan bedilan artileri di kawasan berhampiran, lapor Agensi Berita Nasional Lubnan.

Di Iran pula, sembilan hospital dilaporkan terpaksa menghentikan operasi susulan serangan udara AS-Israel, manakala puluhan kemudahan kesihatan serta ambulans rosak sejak konflik bermula, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik sumber Iran.

Angka korban

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata sekurang-kurangnya 2,000 orang terbunuh di Iran sejak 28 Februari termasuk Pemimpin Agung Ali Khamenei serta lebih 150 pelajar sekolah perempuan, manakala Tehran berikrar akan terus mempertahankan kedaulatannya.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran turut memaklumkan pihaknya berjaya menembak jatuh tiga dron MQ-9 di ruang udara wilayah Bushehr dan Tehran menggunakan sistem pertahanan udara, lapor Agensi Berita Mehr.

Situasi keselamatan yang semakin meruncing turut mendorong beberapa negara mengambil langkah berjaga-jaga.

Iraq melanjutkan penutupan ruang udaranya selama 72 jam lagi berikutan keadaan keselamatan yang tidak menentu, menurut Agensi Berita Qatar.

Australia pula mengumumkan penempatan pesawat pengintip E-7A Wedgetail serta peluru berpandu udara-ke-udara di wilayah Teluk bagi melindungi rakyatnya dan menyokong keselamatan ruang udara serantau, lapor Anadolu Ajansi.

Sistem pertahanan udara di rantau Teluk turut diaktifkan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan pertahanan udaranya berjaya memintas peluru berpandu dan dron yang dilancarkan dari Iran.

Arab Saudi pula melaporkan berjaya memusnahkan satu peluru berpandu balistik dan dua dron yang menyasarkan wilayah timurnya, menurut Anadolu Ajansi.

Di Bahrain, pihak berkuasa memaklumkan seorang maut manakala beberapa lagi cedera selepas serangan Iran mengenai sebuah bangunan kediaman di ibu negara, Manama.

Pemindahan dan bantuan antarabangsa

Konflik berterusan itu turut mencetuskan usaha pemindahan rakyat serta bantuan kemanusiaan oleh beberapa negara.

China memaklumkan lebih 10,000 rakyatnya telah pulang dari UAE, Oman dan Arab Saudi melalui operasi pemindahan yang diselaraskan, lapor Xinhua.

Singapura pula menghantar sebuah pesawat tentera udara ke Riyadh bagi membawa pulang rakyatnya.

Malaysia turut melancarkan misi membawa pulang kira-kira 200 rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara Asia Barat menggunakan pesawat Malaysia Airlines yang disewa khas.

Azerbaijan pula menghantar hampir 30 tan bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan ubat-ubatan ke Iran bagi membantu orang awam yang terjejas akibat konflik berkenaan, lapor Agensi Berita Negara Azerbaijan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa serangan terhadap loji penapisan minyak dan infrastruktur lain boleh meningkatkan risiko kerosakan alam sekitar serta ancaman kesihatan awam, ketika lebih 500,000 orang dilaporkan kehilangan tempat tinggal di Lubnan.

Walaupun konflik masih memuncak, pasaran saham Asia dilaporkan kembali pulih selepas Presiden AS Donald Trump membayangkan konfrontasi dengan Iran mungkin menghampiri penghujungnya, sekali gus menyaksikan harga minyak mentah Brent turun mendadak selepas sebelum ini melonjak melebihi AS$100 setong.

+ - reset