TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hanya 10 kategori layak mohon Permit Khas isi minyak melebihi 20 liter

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Mac – Hanya 10 kategori dikenal pasti layak memohon Permit Khas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi pembelian petrol dan diesel melebihi 20 liter setakat ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, antara kategori tersebut ialah penggunaan forklift, pengangkutan air, penduduk di kawasan pedalaman dan pulau, pengusaha industri makanan, aktiviti rekreasi air, sektor pertanian dan penternakan, bantuan kecemasan, kerja penyelenggaraan, pelancongan serta projek pembinaan berskala kecil.

Menurutnya, pembelian menggunakan permit berkenaan hanya dibenarkan bagi kuantiti 20 liter ke atas dan tertakluk kepada harga semasa di stesen minyak.

Beliau menegaskan mana-mana individu, syarikat atau organisasi yang ingin mendapatkan bekalan bahan api untuk kegunaan selain tangki asal kenderaan perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan Permit Khas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan bahan api bersubsidi seperti petrol dan diesel oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Permit Bekalan di portal rasmi KPDN dan ia tidak dikenakan sebarang bayaran.

“Pemegang permit dibenarkan menggunakan bekas sesuai seperti tong dram atau plastik mengikut kuantiti, lokasi stesen minyak, tempoh serta kekerapan yang diluluskan,” katanya.

Tambah beliau, tiada pihak lain dibenarkan membeli bahan api ke dalam bekas selain pemegang Permit Khas kecuali dalam situasi kecemasan dengan had bawah 20 liter.

Sebelum ini, tular video memaparkan seorang individu mengisi petrol RON95 dalam kuantiti besar ke dalam tong plastik di but sebuah kenderaan.

Susulan itu, KPDN Johor dilaporkan sedang mengesan individu terbabit bagi membantu siasatan kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak di Skudai.

Azman turut menjelaskan, pengusaha stesen minyak hanya dibenarkan menjual bahan api ke dalam tangki asal kenderaan atau kepada pihak yang memiliki kebenaran sah termasuk pemegang Permit Khas.

+ - reset