TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suhu 'aircond' minimum 24 darjah Celsius, penjawat awam digalak pakai batik setiap hari

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 6 April - Kerajaan menggalakkan penjawat awam memakai baju batik setiap hari bekerja sebagai alternatif kepada pakaian pejabat, selaras langkah penjimatan tenaga termasuk penetapan suhu penyaman udara minimum 24 darjah Celsius di bangunan kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata ketetapan itu sejajar dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian UP.7.2.3 berkaitan etiket pakaian dan penampilan pegawai awam.

“Di bawah perenggan 5, Jadual 1 (iii): Pakaian Pegawai Lelaki Ketika Menjalankan Tugas dan perenggan 8, Jadual 2 (ii): Pakaian Pegawai Wanita Ketika Menjalankan Tugas, pemakaian baju batik adalah diwajibkan setiap hari Khamis dan digalakkan dipakai pada setiap hari bekerja sebagai alternatif kepada pakaian pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam surat edaran kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang dimuat naik di Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam.

Menurutnya, Ketua Jabatan juga boleh membenarkan pegawai memakai baju korporat atau pakaian kerja lapangan pada hari tertentu mengikut kesesuaian tugas.

“Pegawai juga dibenarkan memakai baju korporat setiap hari kecuali pada Khamis... namun, ketetapan ini adalah dikecualikan bagi pegawai yang disyaratkan memakai pakaian seragam,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof memaklumkan kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketat termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada minimum 24 darjah Celsius.

Langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemat, selain menjadi pendekatan proaktif dalam mendepani krisis tenaga global.

+ - reset