TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Op Hazard 3.0: 1.4 juta kg e-waste dirampas, 56 warga asing ditahan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 April – Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas lebih 1.4 juta kilogram (kg) sisa elektronik (e-waste) dianggarkan bernilai RM187.2 juta dalam operasi bersepadu Op Hazard 3.0 yang dijalankan serentak di tiga buah negeri, Isnin lalu.

Operasi yang bermula pada jam 10.30 pagi itu melibatkan serbuan ke atas 28 premis di 14 lokasi sekitar Selangor, Negeri Sembilan, dan Johor.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, seramai 56 warga asing berusia antara 30 hingga 50 tahun telah ditahan. Mereka terdiri daripada 31 warga Myanmar, 20 warga Bangladesh, dan lima warga China yang bekerja sebagai pemproses e-waste dengan gaji sekitar RM1,000 sebulan.

"Kebanyakan premis yang diserbu adalah kilang haram yang telah beroperasi antara dua hingga tiga tahun tanpa kelulusan. Kami masih menyiasat pemilik kilang tersebut yang dipercayai melibatkan warga tempatan dan luar negara," katanya dalam sidang akhbar di Markas Briged Tengah PGA, hari ini.

Selain rampasan sisa e-waste, pihak polis turut menyita produk akhir seberat 11,000 kg bernilai RM1.37 juta, barangan lusuh (RM300,000), serta pelbagai peralatan lain berjumlah RM4.6 juta.

Tambah beliau, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengeluarkan kompaun keseluruhan berjumlah RM32,000 atas pelbagai kesalahan premis.

Sementara itu, Pengarah JAS Selangor, Datuk Wandi Yadzid Yaakob menegaskan bahawa kesalahan utama adalah memproses e-waste tanpa lesen dan gagal mengemukakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

"Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pesalah boleh berdepan denda maksimum sehingga RM10 juta atau penjara lima tahun," jelas beliau.

Bagi pencapaian keseluruhan sejak awal tahun ini, Briged Tengah PGA telah melaksanakan 140 serbuan dengan jumlah tangkapan seramai 394 individu serta nilai rampasan keseluruhan mencecah RM216 juta.

+ - reset