Berita Jenayah
Pemandu Myvi tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh rempuh operator wanita di Danga Bay
JOHOR BAHRU 30 Mei – Pengerusi polis mengesahkan pemandu kereta Perodua Myvi yang dikepung orang ramai selepas didakwa cuba melarikan diri ekoran merempuh sebuah motosikal di Danga Bay di sini, didapati memandu tanpa lesen memandu yang sah.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memaklumkan bahawa pemandu warga tempatan yang tidak bekerja itu juga didapati memandu kenderaan dengan cukai jalan yang sudah tamat tempoh.
Kejadian yang berlaku di Kilometer 5.3 Jalan Skudai Pantai Lido pada jam 1.50 pagi itu melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dan sebuah kereta Perodua Myvi.
Mangsa kemalangan merupakan seorang wanita tempatan berusia 39 tahun yang bekerja sebagai operator pengeluaran dan sedang dalam perjalanan pulang secara bersendirian dari tempat kerjanya di Singapura.
Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Myvi yang datang dari arah belakang dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang motosikal yang ditunggang oleh mangsa.
Impak rempuhan kuat tersebut menyebabkan mangsa tercampak di atas laluan jalan raya, manakala motosikalnya pula terbabas lalu merempuh batu pembahagi jalan.
Mangsa yang mengalami kecederaan di pergelangan tangan kanan telah menerima rawatan awal di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum dipindahkan ke Hospital KPJ Bandar Dato' Onn, Johor Bahru.
Pemandu kereta yang tidak mengalami sebarang kecederaan dilaporkan telah tampil membuat laporan polis, manakala hasil ujian saringan air kencing serta ujian alkohol terhadapnya adalah didapati negatif.
Pihak polis telah mengeluarkan saman di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen memandu dan Seksyen 23(1) akta sama kerana menggunakan kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh.
Satu kertas siasatan kini telah dibuka di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 9:44 am
Buat aksi 'superman' ke perhimpunan RXZ Members 8.0, penunggang Singapura ditahan
July 30, 2026, 2:11 pm
Mudir madrasah didakwa tiga pertuduhan amang seksual murid lelaki di Tumpat
July 29, 2026, 10:39 am
Dua pemandu bas ekspres ditahan, sorok syabu di tempat duduk
July 28, 2026, 9:10 am
Warga asing dakwa diperas polis rupanya 'scammer' dikehendaki Interpol
July 27, 2026, 7:22 pm
Nyaris maut ditembak lelaki bertopeng lepas beli telur di Simpang Ampat
July 26, 2026, 9:36 am
Polis tahan lelaki disyaki serang, ugut penguat kuasa MBI
July 25, 2026, 3:21 pm
Lelaki ditahan disyaki hina Islam di Facebook
July 25, 2026, 9:45 am
Dua remaja ditemui maut di Flat Sungai Pari
July 24, 2026, 9:04 am
