Berita Jenayah
Bakar suar atas Ford Raptor demi promosi kedai baju, 15 individu ditahan polis kurang 24 jam
KUALA LUMPUR 19 Mei – Tindakan sekumpulan individu melakukan aksi ekstrem membakar suar (flare) di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Raptor di Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, membawa padah apabila 15 individu termasuk seorang pemilik kedai pakaian diberkas pihak polis dalam tempoh kurang 24 jam, hari ini.
Kesemua suspek yang terdiri daripada remaja dan belia berusia antara 17 hingga 30 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan sekitar Batu Caves, Kajang, Shah Alam, dan Dengkil oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam memaklumkan, siasatan mendapati gimik berbahaya tersebut sengaja dilakukan bagi tujuan penggambaran video promosi ulang tahun keenam sebuah kedai jualan pakaian tempatan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada pemilik kedai berusia 24 tahun, pekerjanya dan lapan individu yang diupah untuk melakukan aksi promosi jualan pakaian mereka dengan kadar upah antara RM50 hingga RM700.
“Manakala seorang wanita berumur 24 tahun yang ditahan adalah pekerja kedai terbabit yang bertindak sebagai koordinator bagi penggambaran jualan pakaian itu,” katanya dalam satu sidang media khas di sini, hari ini.
Sazalee menambah, dalam operasi tersebut, polis turut merampas sebuah kenderaan Ford Raptor yang disewa serta dua buah motosikal jenis scrambler milik pelakon upahan. Semakan lanjut mendapati kedua-dua motosikal itu merupakan model import luar negara yang tidak boleh didaftarkan untuk pemanduan atas jalan raya awam (off-road sahaja).
Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kesemua suspek menunjukkan keputusan negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Siri tangkapan itu kini dikenakan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan komprehensif dijalankan di bawah pelbagai akta dan lunas undang-undang.
Antara peruntukan yang dituduh termasuklah Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh membawa hukuman maksimum penjara sehingga tujuh tahun dan denda RM10,000 jika sabit kesalahan.
Tegas Sazalee, pihak polis tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencetuskan kontroversi murahan sehingga sanggup mengancam nyawa masyarakat sekeliling demi mengejar populariti dan keuntungan perniagaan secara melampau.
Berita berkaitan
October 28, 2026, 11:09 am
Geng rompak kubur di Miri tumpas, sembilan lelaki ditahan
October 27, 2026, 5:32 pm
Empat budak Myanmar direman baling batu, batang besi ke arah warga emas
October 27, 2026, 12:14 pm
Peneroka Felda Lok Heng Selatan maut ditetak lelaki mengamuk
October 27, 2026, 12:04 pm
Kes gangguan seksual: Pengetua sekolah lapor polis selepas diserang keluarga pelajar
October 26, 2026, 10:53 am
Lelaki China ditahan di Hong Kong bawa 2 kilogram kokain didakwa peroleh dadah di P. Pinang
October 19, 2026, 7:28 pm
Polis buru lelaki menyamar pengawal peribadi Raja Muda Selangor, lakukan aktiviti penipuan
October 19, 2026, 11:06 am
Geng curi motosikal tumpas, polis berkas tiga lelaki
October 18, 2026, 12:04 pm
Polis siasat hantaran provokasi bakar kedai milik warga Pakistan
October 18, 2026, 11:57 am
Wanita direman, bantu siasatan penemuan mayat bayi tidak sempurna di Terengganu
October 16, 2026, 2:49 pm
