TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Saman fitnah selesai secara baik, Fadhlina sumbang kos RM15,000 kepada tabung solidariti Palestin Parlimen Jasin

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 20 April - Pertikaian saman fitnah membabitkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berhubung dakwaan larangan takbir dan bacaan Qunut Nazilah sempena Minggu Solidariti Palestin di sekolah, berakhir apabila semua pihak bersetuju menyelesaikannya secara baik di Mahkamah Sesyen hari ini.

Penyelesaian dicapai selepas Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, bersama dua lagi defendan memohon maaf serta mengakui kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini mengundang pelbagai tafsiran dan salah faham terhadap plaintif sehingga menjejaskan reputasinya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Hilmiah Yusof, merekodkan penghakiman persetujuan berdasarkan terma penyelesaian yang dipersetujui dan ditandatangani semua pihak, termasuk bayaran kos sebanyak RM15,000.

Dua lagi defendan yang terbabit ialah bekas Ketua Pengarang Harakah, Mazlan Jusoh dan penerbit akhbar itu, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd.

Fadhlina dan Zulkifli hadir pada prosiding berkenaan.

Zulkifli yang mewakili defendan lain membacakan penghakiman persetujuan berkata, selepas menimbangkan semula kesan daripada tindakan saman fitnah itu dan kos perundangan yang bakal ditanggung oleh kedua-dua pihak, mereka bersetuju untuk menamatkan pertikaian secara muktamad.

Beliau berkata, ia memandangkan terdapat lebih banyak isu yang lebih besar dan penting yang perlu diberikan perhatian demi kepentingan negara.

"Setelah meneliti semula kenyataan itu, kami mengakui bahawa kenyataan yang dikeluarkan telah mengundang tafsiran yang pelbagai, dan salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap YB Puan Fadhlina yang menjejaskan nama baik beliau.

"Hakikatnya, pihak sekolah dibenarkan untuk membuat laungan takbir dan membaca qunut nazilah ketika Minggu Solidariti Palestin.

"Maka, kami memohon maaf kepada YB Fadhlina di atas kenyataan berkenaan dan bersetuju membayar kos sebanyak RM15,000 kepada YB Fadhlina binti Sidek.

"Oleh yang demikian, kami bersetuju untuk menarik balik sepenuhnya, secara mutlak dan tanpa sebarang syarat kenyataan itu.

Zulkifli berkata, mereka memberi aku janji kepada mahkamah bahawa mereka tidak akan pada bila-bila masa selepas ini mengulangi, menerbitkan semula, menyebarkan atau mengulas kenyataan terbabit.

Beliau berkata, mereka juga akan mengambil segala langkah yang munasabah dan perlu bagi memastikan semua kenyataan diturunkan, dipadam dan tidak lagi disebarkan oleh mana-mana pihak di bawah kawalan mereka.

Zulkifli selaku defendan pertama berkata, kedua-dua pihak berharap supaya penyelesaian itu dapat diterima dan dihormati semua pihak dan tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu gugat kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian negara.

Terdahulu, peguam Mohamed Ibrahim Mohamad yang mewakili Fadhlina memaklumkan kepada hakim bahawa pihak terbabit mencapai penyelesaian dan bersetuju dengan penghakiman persetujuan.

Katanya, hari ini mahkamah sepatutnya mendengar perbicaraan kes itu, bagaimanapun beliau dimaklumkan pihak terbabit berjaya menyelesaikan perkara ini secara baik.

Ia kemudian disahkan peguam Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu mewakili Zulkifli, manakala Mazlan dan Galeri Media diwakili Muhammad Darwisy Roslan dan Afifah Latiff.

Sementara itu, Fadhlina ketika ditemui media, bersyukur dan lega kerana dapat membersihkan namanya.

"Sebenarnya saya datang hari ini sudah bersedia untuk meneruskan perbicaraan tetapi saya fikir apabila ada ruang untuk kita mencari penyelesaian itu dan paling penting adalah untuk membersihkan nama saya.

"Saya hendak dengar adalah perkataan maaf...minta maaf itu dan saya dapat hari ini perkataan maaf itu. Alhamdulillah…Kos itu saya akan guna sepenuhnya untuk kempen Solidariti Palestin di Jasin.

"Jadi maknanya hari ini kita berpuas hati kerana segala sangkaan buruk kepada saya khususnya larangan takbir dan Qunut Nazilah itu, apabila ada minta maaf dan tarik balik kenyataan, maknanya ia tidak benar… Ia kelegaan sangat besar dan nama saya telah bersih sepenuhnya."

+ - reset