TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Johor: PH sasar tambah kerusi, bakal lancar manifesto 'Johor Ke Depan' dalam masa terdekat

By
|
Kongsi
image

MUAR 28 Jun – Pakatan Harapan (PH) meletakkan sasaran tinggi untuk meningkatkan bilangan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 kali ini, berbanding penguasaan 12 kerusi yang dimenangi gabungan itu sebelum ini.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa seluruh jentera komited untuk memberikan khidmat terbaik dan bekerja keras sepanjang tempoh dua minggu berkempen yang disifatkannya sebagai fasa kritikal untuk merangka strategi kemenangan.

"Bagi PH kita akan usahakan yang terbaik, bermula daripada 12 kerusi yang kita menangi dalam Pilihan Raya Negeri 2022. Sudah pasti kita berharap dan akan bekerja keras untuk pastikan meningkat daripada jumlah itu. Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), kita mula dengan satu kerusi iaitu di Bukit Batu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pengamal media selepas menghadiri Program JIWA@Komuniti Madani Sembang Santai Edisi Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung di Pasar Awam Parit Jawa di sini hari ini, yang turut dihadiri calon PH bagi DUN Sungai Balang, Soraya Badaruddin.

Mengulas mengenai persediaan tawaran kepada pengundi, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai memaklumkan manifesto rasmi PH bagi pasca-pilihan raya Johor kini berada di fasa akhir penyediaan sebelum dilancarkan kepada umum dalam tempoh terdekat.

Langkah berkenaan turut disahkan oleh Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini yang memaklumkan bahawa draf manifesto bertemakan "Johor Ke Depan" itu akan dibentangkan untuk kelulusan akhir kepimpinan tertinggi gabungan esok bagi memastikan tawarannya bersifat realistik, praktikal dan mudah difahami oleh rakyat.

"Insya-Allah kita rencanakan, kita rangka dan ada beberapa idea yang akan dilontarkan. Daripada situ, saya percaya kita akan tunjukkan bahawa PH serius untuk berusaha membentuk kerajaan negeri dan memenangi lebih banyak kerusi yang ditandingi," jelas Fahmi lagi.

Sasaran agresif PH ini hadir sehari selepas Barisan Nasional (BN) turut dilaporkan membuat pengumuman senada untuk memburu kemenangan majoriti yang lebih besar berbanding pencapaian lalu bagi mengekalkan kestabilan pentadbiran di selatan tanah air itu.

+ - reset