TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

LRT3 Laluan Shah Alam mula operasi esok, PM umum tambang percuma sebulan

By
|
Kongsi
image

KLANG 28 Jun – Kerajaan mengumumkan pemberian tambang percuma selama sebulan bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam serta bas perantara kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bermula esok (Isnin), 29 Jun sehingga 31 Julai ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan diperkenalkan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, memandangkan jajaran baharu tersebut merentasi antara koridor penempatan paling padat dan sesak di dalam negara.

"Bermula 29 Jun iaitu esok hingga 31 Julai, tambang perkhidmatan Laluan Shah Alam dan bas perantara sepanjang Laluan Shah Alam akan diberikan secara percuma selama sebulan.

"Tapi kenapa agaknya laluan ini? Kerana laluan ini yang paling sesak, antara yang paling sesak dalam negara kita. Kemudian bila sesak, maknanya satu bebanan yang besar bagi rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh LRT Johan Setia di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar sempat meluangkan masa menaiki tren LRT3 dari Stesen Seri Andalas ke Stesen Johan Setia bagi merasai sendiri pengalaman mod pengangkutan rel moden itu yang mengambil masa perjalanan kira-kira 15 minit.

Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta pengurusan tertinggi Prasarana.

Projek mega LRT3 Laluan Shah Alam yang menelan belanja pelaburan strategik sebanyak RM16.63 bilion itu dibina khusus bagi memperkukuh sistem jaringan pengangkutan awam serta menghubungkan koridor barat Lembah Klang secara mampan.

Bagi menyokong ketersambungan batuan pertama dan terakhir (first and last-mile connectivity), jajaran LRT3 ini diperkukuhkan dengan pengoperasian 40 buah bas perantara yang bergerak di 323 hentian melibatkan 13 laluan khusus. Kadar tambang biasa bas ini adalah RM1 dan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 11.30 malam.

Selain itu, kemudahan perkhidmatan Rapid On-Demand turut disediakan melibatkan 44 buah van di 20 zon pergerakan dengan kadar bayaran RM2 bagi waktu operasi yang sama.

Bagi memastikan aspek mesra pengguna, akses inklusif golongan Orang Kurang Upaya (OKU) turut disediakan di kesemua stesen termasuk penyediaan laluan landai (ramps), tandas mesra OKU, lantai petunjuk taktil, serta zon tempat duduk khas di dalam setiap gerabak tren.

+ - reset