Berita Ekonomi
KWSP berpotensi umum dividen hingga 6 peratus
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpotensi mengumumkan dividen lebih baik antara 5.5 peratus hingga 6.0 peratus bagi 2024 berdasarkan prestasi separuh pertama yang memberangsangkan.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata prestasi pengurus dana persaraan itu bagi separuh pertama tahun ini adalah baik sekali seiring dengan prestasi ekonomi negara yang terus meningkat untuk tempoh yang sama.
Beliau berkata, aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi tahun ini termasuk Bursa Malaysia amat membantu memberikan pulangan pelaburan yang baik kepada KWSP.
Katanya, seperti dimaklumkan, KWSP mempunyai portfolio pelaburan strategik merangkumi sektor yang sentiasa aktif dan menjadi tarikan pelabur.
"Kemungkinan dividen baik sikit...5.5 peratus ke 6.0 peratus memandangkan (prospek) separuh kedua 2024 dijangka rumit," katanya kepada BH.
Mengenai tinjauan separuh kedua 2024, Aimi Zulhazmi berkata, bagi pelaburan antarabangsa untuk tempoh separuh kedua tahun ini, KWSP perlu lebih berhati-hati dengan unjuran penurunan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan Rizab Persekutuan (Fed) AS bakal mengurangkan kadar faedah, seharusnya memerlukan KWSP melindung nilai kedudukan tukaran asingnya.
"Ini juga memandangkan ekonomi AS yang diunjurkan akan perlahan atau malah menuju kemelesetan tahun depan, pelaburan KWSP di luar negara dijangka dikurangkan secara beransur-ansur dan berpindah dari AS ke pasaran negara membangun dan negara sedang membangun yang lain.
"Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS juga akan mengurangkan pertukaran asing KWSP yang diperoleh sepanjang separuh kedua 2024," katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kemungkinan untuk dividen yang lebih tinggi agak cerah.
Beliau berkata, ia berdasarkan strategi pelaburan yang sentiasa mementingkan kepelbagaian portfolio, baik di peringkat geografi dan juga kelas aset.
Katanya, buat masa ini, KWSP melabur 80 peratus daripada dana baharu ke dalam pasaran domestik.
"Memandangkan suasana pasaran global yang begitu meruap, keputusan untuk memberi fokus ke dalam pasaran domestik seharusnya dapat menampan kesan kemeruapan pasaran global.
"Oleh itu, ahli KWSP disarankan untuk terus menyimpan bagi mendapatkan pulangan yang lebih tinggi melalui proses faktor pengganda," katanya.
KWSP merekodkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM36.70 bilion bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024, peningkatan 29 peratus berbanding RM28.40 bilion dalam tempoh sama 2023.
Pendapatan boleh agih itu tidak termasuk keuntungan 'mark-to-market' (MTM) bagi sekuriti yang belum direalisasikan.
Bagi 2023, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion dan 5.40 peratus untuk Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan RM7.48 bilion. - Berita Harian
#KWSP #DIVIDEN
Berita berkaitan
October 24, 2025, 8:05 pm
CEO Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed umum letak jawatan
October 23, 2025, 11:09 am
Kerajaan dapat jimat RM5 bilion setahun hasil penyasaran semula subsidi diesel – MoF
September 26, 2025, 6:39 pm
Saham Astro jatuh merudum ke paras terendah, keuntungan merosot hampir 70 peratus
September 23, 2025, 10:56 am
Harga RON95 turun, ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS
September 18, 2025, 11:00 am
Proton e.MAS 7 kekal EV paling laris, raih jualan lebih 5,800 unit hingga Ogos
September 10, 2025, 10:40 am
CFO perlu bertindak sebagai pemacu strategi, bukan lagi ‘scorekeeper’ – Abdul Wahid
September 1, 2025, 10:08 pm
Rianlon Corp bakal melabur RM820 juta di Johor, Anwar tinjau perkembangan ECRL
September 1, 2025, 3:23 pm
Moody’s jangka BNM kekal OPR pada 2.75 peratus minggu ini
August 15, 2025, 12:30 pm
