Berita Ekonomi
KUSKOP sedia bincang bersama MoF, KESUMA selaras gaji minimum untuk PMKS
KUALA LUMPUR 11 Nov - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengenai penyelarasan gaji minimum bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata KUSKOP juga akan memperincikan inisiatif-inisiatif lain untuk memastikan kesan kenaikan gaji minimum terhadap perusahaan berkenaan dapat dikurangkan.
"KUSKOP mengambil perhatian serius terhadap kesan kenaikan gaji terhadap syarikat milik usahawan PMKS dan menyedari bahawa peningkatan gaji minimum secara umumnya akan memberi kesan kepada aliran tunai dan kos operasi perniagaan mereka.
"Sehubungan itu, KUSKOP bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan MoF dan KESUMA untuk memperincikan inisiatif yang dapat membantu mengurangkan kesan kenaikan gaji minimum terhadap usahawan PMKS," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Ewon berkata peningkatan gaji minimum itu secara tidak langsung menggalakkan PMKS memberi perhatian terhadap aspek pendigitalan dan automasi dalam menjalankan operasi syarikat untuk faedah jangka panjang.
"Terdapat kemungkinan pengurangan pengambilan pekerja bagi memastikan kos yang lebih efektif, di mana syarikat lebih cenderung untuk mengambil pekerja kontrak berbanding lantikan tetap," katanya.
Sementara itu, beliau berkata antara Januari hingga September lalu, seramai 10,515 usahawan memperoleh pembiayaan secara berkumpulan di bawah Program Skim Teman Tekun dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM81.3 juta.
"Program ini berkonsepkan pembiayaan secara berkumpulan yang lebih mudah, cepat, dan efisien untuk penjaja bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka," katanya.
Katanya, sehingga 30 September lalu, seramai 2,451 penjaja dan peniaga kecil telah menerima Pembiayaan Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) oleh Bank Rakyat di bawah skim tersebut membabitkan jumlah RM49.76 juta.
"Skim ini menawarkan pembiayaan maksimum sehingga RM50,000 dan tiada kadar faedah yang dikenakan," katanya.
Berita berkaitan
April 20, 2026, 12:12 pm
Pelabur luar borong RM9.5 bilion bon tempatan, Ringgit terus juara di Asia
April 18, 2026, 4:43 pm
Gangguan bekalan minyak Caltex di 5 negeri utara dan timur
April 10, 2026, 11:06 am
Bank Dunia saran Malaysia naikkan harga RON95 kepada RM2.05 seliter, kurangkan beban subsidi
April 9, 2026, 10:36 pm
Shell Malaysia mohon maaf, jamin akan utamakan bekalan stabil
April 7, 2026, 2:21 pm
Saham IJM Corp menyusut, Sunway Bhd meningkat susulan kegagalan tawaran pengambilalihan
April 1, 2026, 7:39 pm
Gagal kawal data pelanggan, BNM denda Bank Rakyat RM1 juta
April 1, 2026, 3:53 pm
KDNK Malaysia 2026 diunjur kekal stabil 4.0% - 5.0% di sebalik cabaran inflasi global
March 30, 2026, 12:35 pm
BNM dijangka kekalkan kadar faedah 2.75 peratus sepanjang 2026
February 26, 2026, 5:29 pm
