Berita Ekonomi
Perang dagang AS-China buka peluang pelaburan ke ASEAN, Malaysia - Tengku Zafrul
LIMA, PERU 15 Nov - Ketegangan perdagangan yang tercetus antara Amerika Syarikat (AS) dan China disifatkan sebagai pemangkin kepada peningkatan pelaburan ke Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Namun kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang lebih perlahan dan kenaikan kos kekal menghantui, kata Menteri Perdagangan dan Pelaburan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Dalam jangka pendek, syarikat dari AS, Eropah dan negara Asia yang beroperasi di China sedang mencari peluang untuk memindahkan rantaian bekalan mereka atau membuka kilang baru di Asia Tenggara, katanya dalam temu bual dengan Bloomberg Television pada Khamis, di sini.
Beliau menambah ini membawa lebih banyak pelaburan ke rantau ini, termasuk Malaysia.
"Tetapi dalam jangka masa panjang, saya rasa ia akan terus dihantui kebimbangan," kata Tengku Zafrul yang menghadiri mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini.
"Ekonomi global mungkin menyaksikan pertumbuhan yang lebih perlahan. Pengguna mungkin terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk barang yang sama,".
Tengku Zafrul menekankan kepentingan perjanjian perdagangan dua hala dan pelbagai hala serta kerjasama berterusan di kalangan pembuat dasar dan syarikat untuk melindungi ekonomi daripada ketidakpastian yang mungkin timbul akibat dasar bakal Presiden AS, Donald Trump.
Beliau turut menegaskan bahawa kekal neutral dalam dasar luar negara akan menjadi kunci.
Negara Asia Tenggara ini sudah lama meletakkan dirinya sebagai destinasi pelaburan yang neutral dengan Pulau Pinang yang dikenali sebagai hab elektronik, muncul sebagai penerima utama pelaburan semasa penggal pertama Trump.
Baru-baru ini, syarikat teknologi gergasi seperti Microsoft Corp, Nvidia Corp dan Amazon.com Inc. memberi komitmen untuk melabur berbilion dolar dalam infrastruktur negara, di tengah sektor kecerdasan buatan (AI) Malaysia yang berkembang pesat dan kestabilan politik yang semakin baik.
Pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dijangka meningkat apabila syarikat mencari asas pengeluaran yang stabil di rantau ini, menurut Vincent Loo, penganalisis dari CIMB Securities dalam nota penyelidikan pada 7 November.
Negara yang bergantung pada perdagangan ini juga dijangka menyaksikan permintaan eksport yang lebih tinggi daripada syarikat-syarikat AS yang mencari sumber produk di luar China, tambahnya.
Namun, Tengku Zafrul mengakui bahawa adalah semakin sukar untuk kekal neutral.
"Ia memang lebih sukar dalam lima tahun terakhir. Saya tidak boleh menafikan kenyataan itu," katanya.
Tengku Zafrul berkata Malaysia menyaksikan pelaburan dalam sektor semikonduktor meningkat sebanyak 18 peratus pada separuh pertama tahun ini, terutamanya daripada AS
Katanya, pembuat dasar perlu memantau sektor ini `dengan teliti' kerana teknologi adalah aspek utama dalam ketegangan perdagangan.
Kenaikan tarif dan ketegangan AS-China yang semakin meningkat, berisiko mengurangkan minat pelabur dan menambah tekanan keluar modal di pasaran sedang membangun seperti Malaysia.
Kenaikan nilai dolar AS dan kebimbangan terhadap tarif yang lebih tinggi terhadap import ke AS telah memberi kesan kepada ringgit, yang jatuh ke paras terendah sejak Ogos minggu ini.
Berita berkaitan
February 26, 2026, 5:29 pm
Keuntungan bersih Maybank naik 4.2 peratus kepada RM10.51 bilion pada TK2025
February 19, 2026, 2:21 pm
Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026
February 19, 2026, 12:18 pm
KWSP tambah pegangan Sunway susulan tawaran ambil alih IJM bernilai RM11b
February 12, 2026, 10:30 am
Hijrah Selangor perkukuh kerjasama dengan TERAJU, perkasa masa depan usahawan ke peringkat lebih tinggi
December 18, 2025, 12:12 pm
Ringgit kukuh ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun berbanding dolar AS
December 17, 2025, 1:25 pm
Perodua lancar traz SUV baharu, sasaran jualan 1,900 unit sebulan
December 1, 2025, 11:32 am
Perodua perkenal EV pertama QV-E berharga RM80,000
November 18, 2025, 5:45 pm
Saga Serba Baharu cipta fenomena, satu tempahan diterima setiap 43 saat
November 17, 2025, 11:45 am
Pendapatan pelaburan KWSP melonjak RM63.99 bilion dalam sembilan bulan
November 14, 2025, 5:03 pm
