Berita Jenayah
Polis tumpaskan sindiket dadah di Pulau Pinang, rampas dadah bernilai RM1.17 juta
GEORGE TOWN 5 Mac - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Januari lalu dengan tertangkapnya seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing dalam serbuan di sekitar Jelutong pada Isnin.
Dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kira-kira jam 8.45 malam, pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM1.17 juta berjaya dirampas.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, serbuan pertama dilakukan di hadapan sebuah kedai, membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan. Hasil pemeriksaan, polis menemui tiga peket plastik mengandungi serbuk dadah jenis jus methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 118 gram dengan nilai RM19,706.
Soal siasat terhadap suspek membawa kepada pemeriksaan sebuah kenderaan berhampiran, di mana polis menemui 50 botol minuman disyaki mengandungi cecair jus MDMA berjumlah 19,700 ml bernilai RM15,000. Polis turut merampas 16 cawan berpenutup berisi serbuk MDMA seberat 672 gram yang dianggarkan bernilai RM4,800.
Susulan penahanan suspek lelaki, polis menyerbu sebuah kondominium berhampiran dan berjaya menahan seorang wanita warga asing. Dalam pemeriksaan lanjut, polis menemui 265 peket plastik pelbagai warna dipercayai berisi serbuk dadah MDMA seberat 6,718 gram dengan nilai pasaran RM1.12 juta.
Sebanyak 23 cawan berpenutup berisi serbuk MDMA seberat 966 gram bernilai RM6,900 turut dirampas.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine, namun mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Mereka yang berusia 32 dan 42 tahun itu direman selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 Mac bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Selain dadah, polis turut menyita sebuah motosikal bernilai RM5,600 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali. - Media Telus
Berita berkaitan
December 11, 2025, 3:40 pm
Pelajar tingkatan tiga ditahan ugut rakan guna parang melalui panggilan video
December 10, 2025, 11:42 am
Lelaki warga asing ditahan mengamuk dengan senjata tajam di Kepong
December 9, 2025, 10:44 am
Lelaki pecah masuk rumah jurutera TNB ditahan polis
December 8, 2025, 5:44 pm
2 lelaki ditahan halang polis ketika rondaan di Pandan Indah
November 28, 2025, 8:04 pm
Lelaki ceroboh tandas wanita untuk merakam video ditangkap selepas seminggu diburu
November 28, 2025, 4:22 pm
57 'scammer' di tahan, polis tumpas 8 sindiket penipuan dalam talian di Kuala Lumpur
November 24, 2025, 12:25 pm
Tiga penyamun ‘Geng DT’ ditembak mati polis selepas menyerang anggota
November 20, 2025, 7:28 am
Penjawat awam ditangkap selepas rakam wanita secara curi di Pekan Sehari Temerloh
November 19, 2025, 2:35 pm
Taktik tiga lelaki warga Jepun seludup kokain bernilai RM2.4 juta terbongkar di KLIA
November 11, 2025, 3:11 pm
