Berita Ekonomi
Kerugian Berjaya Food cecah RM116.5 Juta, terjejas akibat boikot, kos tinggi
KUALA LUMPUR 9 Mei - Prestasi kewangan Berjaya Food Bhd terus merosot apabila kumpulan itu merekodkan pendapatan sebanyak RM360.9 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, iaitu penurunan sebanyak 39.8 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Kerugian bersih teras kumpulan turut melonjak kepada RM101.2 juta, meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM38.4 juta yang dicatatkan pada tempoh sama dalam tahun kewangan terdahulu.
Menurut nota penyelidikan oleh CIMB Securities, prestasi suram ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh kelemahan jualan terutamanya dari operasi rangkaian Starbucks yang terjejas akibat kempen boikot pengguna berterusan, selain perbelanjaan promosi yang tinggi dan kecekapan operasi yang lebih rendah.
Walau bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan kerugian suku keempat akan menyusut sedikit berikutan berakhirnya bulan Ramadan pada Mac lalu, dan perkembangan positif yang mula kelihatan di beberapa cawangan Starbucks di Malaysia.
Menurut penganalisis CIMB, Lim Yue Jia dan Walter Aw Lik Hsin, kesan boikot berikutan konflik Israel-Palestin juga menunjukkan tanda-tanda mula reda. Di samping itu, langkah konsolidasi yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan dengan menutup cawangan-cawangan kurang berprestasi dijangka memberi sedikit kelegaan terhadap tekanan kewangan kumpulan.
Bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 sahaja, Berjaya Food mencatatkan kerugian bersih teras sebanyak RM36.7 juta selepas pelarasan sebanyak RM500,000 bagi kerugian sekali sahaja melibatkan penjualan dan susut nilai aset.
Ini menjadikan jumlah kerugian bersih teras selama sembilan bulan mencecah RM116.5 juta, melepasi unjuran awal yang ditetapkan iaitu RM104 juta, dan jauh di luar jangkaan konsensus Bloomberg sebanyak RM92.1 juta.
Pendapatan suku ketiga mencatatkan penurunan kepada RM113.6 juta, manakala margin EBITDA merosot sebanyak 5.5 mata peratusan kepada hanya 3.1 peratus. Antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan ini termasuk jumlah kedai beroperasi yang lebih rendah, prestasi hambar daripada restoran Kenny Rogers Roasters (KRR), serta kesan penuh Ramadan terhadap corak perbelanjaan pengguna.
CIMB Securities turut menjelaskan bahawa usaha pengembangan luar negara yang sedang dijalankan turut melibatkan kos permulaan yang tinggi, sekaligus memburukkan lagi kedudukan kewangan semasa kumpulan.
Tiada pengumuman dividen dibuat bagi suku tersebut, sejajar dengan jangkaan pasaran.
Susulan prestasi yang terus mengecewakan, CIMB Securities meningkatkan unjuran kerugian bagi Berjaya Food sebanyak 15 hingga 28 peratus dan mengekalkan saranan 'jual' terhadap saham kumpulan itu dengan harga sasaran yang diturunkan kepada 28 sen. - Media Telus
Berita berkaitan
October 24, 2025, 8:05 pm
CEO Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed umum letak jawatan
October 23, 2025, 11:09 am
Kerajaan dapat jimat RM5 bilion setahun hasil penyasaran semula subsidi diesel – MoF
September 26, 2025, 6:39 pm
Saham Astro jatuh merudum ke paras terendah, keuntungan merosot hampir 70 peratus
September 23, 2025, 10:56 am
Harga RON95 turun, ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS
September 18, 2025, 11:00 am
Proton e.MAS 7 kekal EV paling laris, raih jualan lebih 5,800 unit hingga Ogos
September 10, 2025, 10:40 am
CFO perlu bertindak sebagai pemacu strategi, bukan lagi ‘scorekeeper’ – Abdul Wahid
September 1, 2025, 10:08 pm
Rianlon Corp bakal melabur RM820 juta di Johor, Anwar tinjau perkembangan ECRL
September 1, 2025, 3:23 pm
Moody’s jangka BNM kekal OPR pada 2.75 peratus minggu ini
August 15, 2025, 12:30 pm
