TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Saravanan seru pengiktirafan global terhadap peranan Islam Tamil dalam sastera

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 11 Mei – Sumbangan besar umat Islam Tamil dalam memperluas dan memperkayakan bahasa serta sastera Tamil di persada dunia perlu diberikan pengiktirafan sewajarnya dan direkodkan secara sistematik agar tidak luput ditelan zaman.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, sejarah membuktikan bahawa komuniti Islam Tamil memainkan peranan penting dalam menyebarkan bahasa Tamil melalui penglibatan aktif mereka dalam perdagangan antarabangsa sejak berkurun lamanya.

“Usaha mereka membawa bahasa Tamil ke serata dunia melalui aktiviti komersial antarabangsa adalah satu sumbangan besar yang masih belum didokumentasikan secara menyeluruh dan sistematik,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Persidangan Jubli Emas anjuran Persatuan Sastera Islam (ILS) yang sedang berlangsung di Tiruchi, Tamil Nadu, India. Persidangan selama tiga hari yang bermula pada 9 Mei itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Tamil Nadu, M.K. Stalin, bersama Timbalan Ketua Menteri, Udhayanidhi Stalin.

Menurut Saravanan, platform seperti persidangan ILS amat penting bagi membincangkan dan mengetengahkan pelbagai perspektif tentang sumbangan komuniti Islam Tamil dalam bidang bahasa dan sastera.

“Saya memuji kejayaan ILS menganjurkan persidangan ini, dan ia wajar dijadikan pentas untuk mengiktiraf warisan intelektual serta peranan signifikan umat Islam Tamil dalam perkembangan bahasa Tamil di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Ahli Parlimen Tapah itu turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam penganjuran Persidangan Sastera Islam Tamil Sedunia Ke-10 di Malaysia pada masa akan datang sebagai usaha menyokong dan memperluas pengiktirafan terhadap sumbangan komuniti tersebut.

+ - reset