Berita Berita
Misteri kehilangan Louis James Fraser diangkat ke layar perak menerusi filem Misteri Fraser 1910

KUALA LUMPUR 13 Mei - Nama Louis James Fraser atau lebih dikenali sebagai Mr. Fraser cukup sinonim dengan pusat peranginan Bukit Fraser yang terletak di daerah Raub, Pahang. Di sebalik keindahannya sebagai destinasi pelancongan, kawasan ini juga menyimpan kisah misteri yang terus menjadi tanda tanya – kisah kehilangan peneroka Scotland itu yang hilang tanpa jejak pada tahun 1910.
Kisah berkenaan kini diangkat ke layar perak menerusi filem Misteri Fraser 1910, terbitan Millionaire Film Production Sdn. Bhd. Penerbitnya, Elani Aidid menjelaskan bahawa idea untuk menghasilkan filem ini tercetus sewaktu beliau berada di Bukit Fraser pada tahun 2019 ketika mencari lokasi penggambaran untuk sebuah projek lain. Ketika itu, beliau mula tertarik dengan kisah kehilangan Mr. Fraser yang dikatakan berlaku selepas beliau menemui lubuk bijih timah di kawasan tersebut.
Tambah Elani, kisah itu menjadi semakin menarik apabila mendapati beberapa laluan mendaki di Bukit Fraser dinamakan sempena individu yang terlibat dalam usaha pencarian Mr. Fraser, seperti Bishop Trail dan Abu Suradi Trail. Hal ini mencetuskan ilham untuk beliau mengkaji lebih lanjut dan mencipta naratif fiksyen berdasarkan misteri kehilangan tersebut.
Filem Misteri Fraser 1910 mengisahkan tentang kehilangan Mr. Fraser secara tiba-tiba, apabila keretanya ditemui di pinggir jalan hutan tanpa sebarang jejak lanjut. Watak Mr. Fraser dibawakan oleh pelakon Josiah Hogan, bersama barisan pelakon lain seperti Amai Kamarudin, Siti Hariesa, Isyariana, Erry Putra dan ramai lagi.
Menurut Elani, meskipun filem ini diilhamkan daripada kisah benar, separuh daripada penceritaan adalah hasil olahan fiksyen. Ia turut mengambil inspirasi daripada kisah yang dikumpul menerusi temu ramah bersama penduduk setempat, disulami elemen komersial untuk tontonan umum. Skrip filem ini juga menerima sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui Dana Perkembangan Skrip Filem, dan dikembangkan dengan bimbingan panel skrip berpengalaman.
Apa yang menjadikan filem ini unik, jelas Elani, bukan hanya kerana elemen seramnya, tetapi juga kerana pendekatannya yang membawa penonton mengembara ke era klasik tahun 1910. Filem ini menampilkan dialog dalam bahasa baku lama, busana serta props yang sesuai dengan latar zaman tersebut, sekali gus menambah kekuatan penceritaan.
Filem ini turut mendapat pengiktirafan apabila terpilih dalam kategori Best First-Time Filmmaker di Lift-Off Global Network Sessions Vol. 4 yang berlangsung di Pinewood Studios, United Kingdom. Ia bersaing dengan 26 filem lain dari pelbagai negara, dan menerima undian tinggi daripada penonton antarabangsa semasa festival tersebut berlangsung dari 21 April hingga 4 Mei 2025.
Dengan sambutan positif di peringkat antarabangsa, Elani berharap Misteri Fraser 1910 turut mendapat tempat di hati penonton tempatan. Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 26 Jun 2025. - Media Telus
Berita berkaitan
May 13, 2025, 6:13 pm
Ramasamy dijangka berdepan 17 tuduhan pecah amanah bernilai RM850,000 esok
May 13, 2025, 5:38 pm
MOT tubuh Pasukan Petugas Khas siasat tragedi lori rempuh trak FRU
May 13, 2025, 5:20 pm
Ahmad Zahid: Pemilik lori juga perlu bertanggungjawab dalam tragedi nahas FRU
May 13, 2025, 5:05 pm
Agong, Raja Permaisuri zahir dukacita atas tragedi nahas FRU di Teluk Intan
May 13, 2025, 4:58 pm
Pemandu lori terbabit nahas FRU ada rekod jenayah lampau
May 13, 2025, 4:05 pm
Malaysia masih menanti jawapan Arab Saudi berhubung kuota tambahan haji
May 13, 2025, 2:47 pm