TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tragedi kemalangan anggota FRU, Fahmi ucap takziah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Mei - Negara dikejutkan dengan pemergian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam satu kemalangan tragis melibatkan kenderaan pasukan dan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, awal pagi tadi.

Insiden menyayat hati ini bukan sahaja merentap perasaan keluarga dan rakan setugas, malah turut dirasai seluruh rakyat Malaysia.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan di Facebook berkata, anggota FRU merupakan barisan hadapan keselamatan negara yang sentiasa bersedia berkhidmat demi ketenteraman awam.

“Saya mewakili seluruh warga Kementerian Komunikasi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban. Tragedi ini amat menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada kita semua,” kata beliau.

Datuk Fahmi turut mendoakan agar roh semua mangsa ditempatkan dalam kalangan para solihin serta menyeru rakyat agar bersama-sama mendoakan kesembuhan buat anggota yang masih dirawat.

Beliau juga menegaskan komitmen kementeriannya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan media bagi menyampaikan maklumat yang sahih serta menghalang penyebaran berita palsu yang boleh mengganggu sensitiviti keluarga mangsa dan proses siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Dr Bakri Zainal Abidin mengesahkan bahawa kesemua yang terkorban adalah anggota dari Unit 5 FRU Ipoh. Mayat-mayat telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat.

Tragedi ini sekali lagi mengingatkan kita tentang pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas tanpa mengira masa demi negara. Al-Fatihah buat wira-wira negara yang telah pergi. - Media Telus

+ - reset