Berita Berita
Isu vape dalam kalangan pelajar: KKM tubuh jawatankuasa khas

PUTRAJAYA 13 Mei - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti secara menyeluruh isu penggunaan vape, khususnya melibatkan penyalahgunaan dalam kalangan pelajar.
Langkah ini susulan penguatkuasaan sepenuhnya Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2024 (Akta 852) yang mula dilaksanakan baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari, dengan penglibatan Prof Dr Lokman sebagai penasihat utama kementerian dalam isu kesihatan awam.
“Kami sedar terdapat beberapa insiden tular di media sosial melibatkan pelajar serta kes kematian yang dikaitkan dengan penggunaan beping. Namun siasatan awal mendapati wujud faktor komorbiditi lain yang perlu diperhalusi sebelum sebarang rumusan dibuat,” jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Bidan dan Jururawat Peringkat Kebangsaan 2025 di Institut Kanser Negara, Selasa.
Dr Dzulkefly turut menegaskan bahawa KKM memandang serius isu ini dan telah mengarahkan jawatankuasa khas untuk segera mengadakan perbincangan serta semakan dasar sedia ada yang berkaitan.
Selain itu, aspek penguatkuasaan dan keberkesanan pelaksanaan Akta 852 juga akan dikaji semula termasuk pelaksanaan pemantauan menyeluruh (surveillance) terhadap kes berkaitan.
“Perkara ini akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa dalam masa terdekat untuk menilai sama ada dasar semasa mencukupi atau perlu ditambah baik dengan cadangan baharu,” katanya.
Jelas beliau, segala keputusan KKM akan berasaskan bukti saintifik (evidence-based) dan mempertimbangkan kesan jangka pendek serta panjang terhadap kesihatan awam.
Menteri itu turut mengulangi komitmen KKM untuk menangani isu penggunaan beping secara menyeluruh, terutamanya demi melindungi golongan muda dan keselamatan rakyat Malaysia secara keseluruhan. - Media Telus
Berita berkaitan
May 13, 2025, 6:13 pm
Ramasamy dijangka berdepan 17 tuduhan pecah amanah bernilai RM850,000 esok
May 13, 2025, 5:38 pm
MOT tubuh Pasukan Petugas Khas siasat tragedi lori rempuh trak FRU
May 13, 2025, 5:20 pm
Ahmad Zahid: Pemilik lori juga perlu bertanggungjawab dalam tragedi nahas FRU
May 13, 2025, 5:05 pm
Agong, Raja Permaisuri zahir dukacita atas tragedi nahas FRU di Teluk Intan
May 13, 2025, 4:58 pm
Pemandu lori terbabit nahas FRU ada rekod jenayah lampau
May 13, 2025, 4:05 pm
Malaysia masih menanti jawapan Arab Saudi berhubung kuota tambahan haji
May 13, 2025, 2:47 pm