TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mula bertugas Ketua Pengarah AKPS, Mohd Shuhaily tekad jaga keselamatan sempadan negara

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 1 Julai – Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bertekad menjadikan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sebagai pasukan penguat kuasa yang lebih kelihatan dan berkesan di lapangan demi menjamin keselamatan sempadan negara.

Optimis dengan peranan yang bakal digalas, beliau yang memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pengarah AKPS hari ini berkata, kehadiran agensi itu perlu dirasai rakyat menerusi tindakan fizikal yang memberi impak langsung.

“Insya-Allah… tugas kami untuk memastikan AKPS ini dapat dilihat secara fizikal dalam masa yang terdekat dan juga memberi impak kepada masyarakat seperti mana yang digambarkan oleh kerajaan,” katanya.

Pelantikan Mohd Shuhaily bagi mengisi jawatan yang kosong sejak lima bulan lalu menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar baru-baru ini.

Mohd Shuhaily yang memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menegaskan bahawa beliau hanya mempunyai masa dua tahun untuk menyempurnakan amanah yang diberikan.

“Kontrak saya hanyalah dua tahun dan sekiranya dipecahkan kepada suku tahun, saya hanya ada lapan suku saja untuk saya laksanakan apa yang dipertanggungjawabkan kepada saya,” katanya.

Terdahulu, beliau tiba di pejabatnya pada jam 9.15 pagi dan disambut oleh dua timbalannya, Mohd Jasmi Mohd Juwahir dan Ismail Mokhtar, sebelum menghadiri sesi taklimat tertutup bersama pegawai dan anggota AKPS.

Berusia 53 tahun, Mohd Shuhaily merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa dari UIAM dan Sarjana Sains dalam Pengajian Strategik dari Nanyang Technological University, Singapura. Sepanjang 26 tahun dalam PDRM, beliau pernah berkhidmat sebagai Atase Polis di Washington serta terakhir menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sejak Ogos 2023.

+ - reset