Berita Berita
Kes demam denggi di Selangor menurun, hanya 398 kes dicatatkan minggu lalu

SHAH ALAM 1 Julai – Jumlah kes demam denggi di Selangor menunjukkan penurunan pada Minggu Epidemiologi ke-26 (ME 26/2025) apabila hanya 398 kes direkodkan, berkurang 27 kes berbanding minggu sebelumnya.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, data yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) itu merangkumi tempoh antara 22 hingga 28 Jun lalu.
Menurutnya, sehingga kini Selangor mencatatkan kumulatif 13,275 kes demam denggi, jauh lebih rendah berbanding 38,920 kes bagi tempoh sama pada tahun 2024, dengan perbezaan ketara sebanyak 25,645 kes.
“Tiga daerah yang masih mencatatkan jumlah lokaliti wabak aktif tertinggi adalah Petaling (57), Hulu Langat (34) dan Klang (28). Namun kesemua daerah ini menunjukkan penurunan berbanding minggu sebelumnya.
“Daerah lain yang mencatatkan lokaliti wabak aktif ialah Gombak (6), Kuala Selangor (5), Kuala Langat (4) dan Hulu Selangor (1), manakala tiada kes wabak aktif di Sepang dan Sabak Bernam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, penurunan kes ini turut disertai pengurangan kematian akibat denggi iaitu hanya empat kematian direkodkan setakat ini berbanding 12 kematian dalam tempoh sama tahun lalu.
Jamaliah menyifatkan trend positif ini sebagai bukti keberkesanan pelaksanaan langkah intervensi dan kawalan yang berterusan oleh JKNS, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan serta sokongan padu daripada komuniti.
“Antara usaha yang dijalankan termasuk penguatkuasaan undang-undang, pendidikan kesihatan, aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes serta program gotong-royong melibatkan masyarakat.
“Kejayaan ini perlu dikekalkan dengan kerjasama semua pihak untuk memastikan kes denggi terus menurun,” ujarnya. - Media Telus
Berita berkaitan
July 1, 2025, 5:38 pm
Gangguan trafik dijangka sempena mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di KL
July 1, 2025, 3:29 pm
Bedah siasat sah tiada unsur jenayah dalam kematian dua beranak di Jalan Bukit Gambir
July 1, 2025, 2:43 pm
Peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar IPT cetus kebimbangan KKM
July 1, 2025, 1:55 pm
Anwar puji Aerotrain baharu di KLIA lebih laju dari dahulu, selesa
July 1, 2025, 1:24 pm
Hukuman mati bekas doktor tentera kekal, 3 lagi dibebaskan kes bunuh Kevin Morais
July 1, 2025, 1:19 pm
‘Abang Bomba Sado’ gegar dunia, rangkul 3 pingat Emas di Birmingham
July 1, 2025, 1:12 pm