TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Notis 5 hari tidak lagi wajib, Hakim Negara tegaskan hak rakyat berhimpun terpelihara

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 1 Julai - Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan hukuman terhadap kegagalan memaklumkan polis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan aman adalah tidak berperlembagaan.

Keputusan sebulat suara itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim, dengan menyatakan bahawa peruntukan tersebut melampaui batasan yang dibenarkan di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk berhimpun secara aman.

Beliau menegaskan bahawa Seksyen 9(5) bukanlah sekatan yang munasabah tetapi satu bentuk larangan terhadap hak berhimpun, sekali gus bersifat campur tangan yang tidak seimbang.

Keputusan itu susulan cabaran perlembagaan yang difailkan oleh bekas Setiausaha Agung Parti MUDA, Amir Hadi, yang sebelum ini didakwa pada 2022 kerana menganjurkan satu perhimpunan di hadapan kompleks beli-belah Sogo di ibu negara tanpa memberikan notis lima hari lebih awal kepada pihak polis.

Perhimpunan pada 14 Ogos 2022 itu disertai kira-kira 200 orang yang menuntut tindakan terhadap menteri bertanggungjawab atas kegagalan projek kapal tempur pesisir (LCS). Amir didakwa mengikut Seksyen 9(1) dan berdepan hukuman di bawah Seksyen 9(5), iaitu denda sehingga RM10,000.

Tengku Maimun turut memerintahkan agar prosiding jenayah terhadap Amir yang masih berjalan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dilupuskan selaras dengan keputusan yang telah dibuat Mahkamah Persekutuan.

+ - reset