TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rasionalisasi subsidi diesel berjaya jimat RM5 bilion, bukti ketirisan berkurangan - MOF

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 12 Nov – Pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel terbukti berjaya menurunkan ketirisan bahan api, terutamanya akibat penyeludupan, dengan penjualan diesel berkurangan lebih 300 juta liter sebulan sejak Jun 2024.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata statistik menunjukkan penjualan diesel sekitar 465 juta liter sebulan antara Jun hingga Disember 2024, berbanding kira-kira 770 juta liter bagi tempoh sama antara Januari hingga Mei tahun lalu.

“Pengurangan ini menunjukkan ketirisan subsidi diesel, sebahagiannya berpunca daripada penyeludupan, semakin menurun. Jualan diesel secara komersial juga meningkat selepas rasionalisasi, menunjukkan sebelum ini diesel bersubsidi turut dibeli untuk kegunaan komersial tempatan seperti mesin dan jana kuasa elektrik di tapak pembinaan atau kilang,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai penurunan jualan diesel di Semenanjung susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi itu di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Lim, pelaksanaan Program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) berjaya menjimatkan lebih RM400 juta sebulan dan menjana kira-kira RM5 bilion. Penjimatan ini membolehkan kerajaan menyalurkan semula dana untuk projek pembangunan serta program bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Subsidi bersasar dalam kerangka Ekonomi MADANI terbukti berkesan dalam mengurangkan ketirisan, mengoptimumkan perbelanjaan fiskal dan memastikan golongan yang layak terus menerima manfaat,” katanya.

Selain itu, kerajaan memperkenalkan Program Budi MADANI Individu dan Budi MADANI Agri Komoditi, iaitu bantuan tunai RM200 sebulan atau RM2,400 setahun kepada individu pemilik kenderaan diesel persendirian. Seramai 320,000 penerima termasuk petani, penternak dan pekebun kecil menerima manfaat dengan jumlah bayaran RM850 juta.

Bagi segmen kenderaan pengangkutan barangan darat, sebanyak 121,618 syarikat dengan 355,074 kenderaan diluluskan bagi penggunaan ‘fleet card’ sehingga 30 September lalu.

 

+ - reset