TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Saman fitnah 'ceramah masjid' selesai: Papagomo mohon maaf, bersetuju isu hanya salah faham

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 6 April – Kes saman fitnah yang difailkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, berhubung dakwaan penglibatan dalam ceramah politik di sebuah masjid tahun lalu, akhirnya diselesaikan secara damai di Mahkamah Tinggi hari ini.

Penyelesaian tersebut dicapai di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan selepas kedua-dua pihak bersetuju bahawa insiden yang berlaku di Masjid Nurul Yaqin, Kampung Kuang pada 30 Julai 2023 bukanlah satu kempen politik.

Peguam yang mewakili Fahmi, Asheeq Ali Sethi Alivi dalam satu kenyataan bersama memaklumkan bahawa setelah mempertimbangkan penjelasan pihak berkuasa, ucapan Fahmi pada tarikh tersebut disahkan tidak mengandungi unsur politik atau kempen pilihan raya.

"Isu yang timbul adalah salah faham yang tidak sepatutnya berbangkit sejak awal. Pihak-pihak bersetuju untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan lain selain daripada apa yang telah dipersetujui dalam kenyataan ini," katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Fahmi yang turut hadir menzahirkan rasa syukur kerana proses mediasi tersebut berjaya membersihkan namanya daripada tuduhan yang dianggap tidak wajar dan bersifat fitnah.

"Dua daripada tiga kes ini telah membersihkan nama saya. Saya harap pada masa hadapan, kita semua menyemak maklumat terlebih dahulu sebelum membuat hantaran di media sosial dan mengambil pengajaran daripada insiden ini," ujar beliau.

Terdahulu, Fahmi telah menyelesaikan saman terhadap defendan pertama, Mohd Fauzan Madzlan (pemilik akaun Facebook 'N13 Kuang') berhubung isu yang sama.

Bagaimanapun, tindakan undang-undang terhadap penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani akan diteruskan dengan perbicaraan yang dijadualkan bermula esok. Fahmi dijangka akan mula memberi keterangan di mahkamah selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian di luar mahkamah.

Writ saman yang difailkan pada September 2023 itu mendakwa ketiga-tiga defendan memfitnah Fahmi dengan mendakwa beliau menyalahgunakan tempat ibadat bagi tujuan kempen, sekali gus bertindak bertentangan dengan titah Sultan Selangor. Pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebelum ini turut mengesahkan tiada ucapan berbaur politik dikesan dalam insiden berkenaan.

+ - reset