TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Teruk dikritik terlalu seksi, Universal Music akhirnya tarik semula muzik video Dolla

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Nov - Universal Music Malaysia mengambil langkah menurunkan video muzik terbaharu kumpulan Dolla berjudul Question dari semua platform digital selepas menerima kritikan hebat masyarakat yang menyifatkan kandungannya tidak sesuai dan menyinggung sensitiviti tempatan.

Pengarah Urusannya, Kim Lim, berkata keputusan itu dibuat selepas penelitian semula terhadap keseluruhan produksi dan maklum balas yang diterima daripada peminat serta masyarakat.

“Sebagai syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat.

“Kami ambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan. Kreativiti perlu seiring dengan norma setempat, dan penurunan video muzik ini adalah langkah wajar demi menjaga keharmonian semua pihak,” katanya.

Penampilan Dolla dalam video muzik Question sebelum ini mencetuskan kontroversi, khususnya gaya fesyen yang dianggap terlalu seksi dan mencolok mata. Isu itu turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang dilapor sedang meneliti kemungkinan tindakan jenayah syariah terhadap selebriti Muslim yang berpakaian tidak sopan.

Pendakwah selebriti, Asma’ Harun, juga menegur secara terbuka dan menyifatkan penampilan Dolla dalam video tersebut sebagai tidak bermoral serta memalukan wanita Islam.

Universal Music Malaysia dalam kenyataannya turut berjanji memperketat proses semakan kandungan dan memastikan setiap projek kreatif melalui penelitian dalaman serta konsultasi profesional bagi mengelakkan isu sama berulang.

“Kami berterima kasih atas semua maklum balas terbuka dan membina daripada masyarakat. Kami berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik negara,” kata Lim.

+ - reset