Berita Berita
'Ada 'dark room' dengan tilam nipis' - Polis serbu spa 'songsang', 17 penjawat awam antara 201 ditahan di Chow Kit
KUALA LUMPUR 29 Nov – Sebuah pusat spa dan kesihatan yang disyaki menjadi lokasi kegiatan tidak bermoral terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi di Chow Kit, di sini, malam tadi.
Operasi bersepadu bermula kira-kira pukul 8 malam itu digerakkan Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), hasil risikan selama dua minggu.
Wartawan Media Telus yang melakukan liputan di lokasi mendapati premis terbabit beroperasi di tingkat dua dan tiga sebuah bangunan rumah kedai, manakala tingkat bawah diubah suai sebagai gimnasium sebelum bahagian atas dijadikan kawasan sauna dan jakuzi.
Pemeriksaan lanjut turut menemukan bilik khas yang digelar ‘dark room’ lengkap dengan tilam nipis berwarna hitam dipercayai digunakan untuk perlakuan tidak bermoral.
Difahamkan, pengunjung dikehendaki menanggalkan pakaian dan diberikan tuala berwarna putih sebelum dibenarkan naik ke tingkat atas, manakala ketika serbuan dijalankan, beberapa individu didapati sedang berada di dalam jakuzi dan sauna tanpa seurat benang.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Azani Omar berkata, hasil serbuan membawa kepada penahanan seramai 201 individu termasuk tujuh pekerja premis berkenaan.
“Tangkapan membabitkan 24 warga asing manakala selebihnya warga tempatan termasuk 17 penjawat awam berusia antara 19 hingga 60 tahun.
“Pihak polis turut merampas kondom dan beberapa barangan dipercayai berkaitan aktiviti tidak bermoral,” katanya pada sidang media selepas operasi, semalam.
Menurut beliau, premis terbabit dipercayai beroperasi setiap hari sejak lapan hingga 10 bulan lalu dan disyaki mempromosikan aktivitinya melalui platform media sosial.
“Pusat itu mengenakan caj RM35 bagi setiap kemasukan dengan bayaran tambahan RM10 sebagai yuran pendaftaran untuk keahlian baharu,” ujarnya.
Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi menjalani ujian saringan air kencing serta membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana persetubuhan luar tabii.
Berita berkaitan
April 20, 2026, 3:58 pm
Amang seksual pesakit remaja di hospital, warga emas pesakit dialisis dipenjara 3 tahun
April 20, 2026, 3:40 pm
Padah intai wanita di tandas LRT, pembantu kedai didenda RM3,500
April 20, 2026, 3:20 pm
Gangguan elektrik punca sistem bagasi KLIA lumpuh, MOT arah MAHB lapor setiap minggu
April 20, 2026, 3:13 pm
Ahmad Zahid nafi kerajaan mahu tangguh PRN Melaka, Johor kerana takut kalah
April 20, 2026, 3:08 pm
Isu teater 'soft porn' tular, UM akan ambil tindakan terhadap pelajar
April 20, 2026, 1:42 pm
Pelajar Tingkatan 2 cipta rekod Malaysia hafal 300 digit nombor Pi
April 20, 2026, 12:36 pm
Kampung Bahagia bakal dibangunkan semula sebagai perkampungan sah
April 20, 2026, 12:27 pm
