TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Hiburan

Brooklyn Beckham putus hubungan dengan keluarga, dakwa membesar dalam pembohongan

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 20 Jan - Hubungan tegang dalam keluarga selebriti Beckham kembali mencuri perhatian apabila Brooklyn Beckham secara terbuka mendedahkan konflik berpanjangan dengan ibu bapanya, David dan Victoria Beckham, sehingga membawa kepada keputusan untuk memutuskan hubungan kekeluargaan.

Menerusi satu muat naik panjang lebar di Instagram, Brooklyn, 26, mendakwa sudah tiba masanya untuk beliau berkongsi kebenaran sebenar berhubung pelbagai dakwaan yang menurutnya dibentuk melalui pembohongan dan manipulasi naratif media oleh ibu bapanya.

"Saya berdiam diri selama bertahun-tahun dan berusaha sedaya upaya untuk memastikan perkara ini kekal bersifat peribadi.

"Namun malangnya, ibu bapa saya bersama pasukan mereka terus membawa isu ini kepada media, menyebabkan saya tidak mempunyai pilihan selain bersuara bagi mempertahankan diri dan mendedahkan kebenaran mengenai sebahagian daripada pembohongan yang diterbitkan.

"Saya tidak mahu berdamai semula dengan keluarga saya. Saya tidak dikawal oleh sesiapa, sebaliknya buat pertama kali dalam hidup, saya tampil mempertahankan diri sendiri," katanya menurut muat naik terbabit.

Brooklyn mendakwa sejak kecil, ibu bapanya mengawal sepenuhnya naratif media mengenai keluarga mereka, termasuk memaparkan kehidupan yang menurutnya tidak tulen.

"Paparan media sosial yang bersifat lakonan selain majlis keluarga serta hubungan yang tidak tulen sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan yang saya lalui sejak dilahirkan.

"Baru-baru ini, saya menyaksikan sendiri sejauh mana mereka sanggup menyebarkan pelbagai pembohongan di media, kebanyakannya dengan mengorbankan individu yang tidak bersalah, hanya untuk mengekalkan imej mereka.

"Namun saya percaya, kebenaran akhirnya akan terserlah," katanya.

Beliau turut mendakwa ibu bapanya cuba merosakkan hubungannya dengan isteri, Nicola Peltz, sebelum dan selepas perkahwinan mereka.

"Ibu saya membatalkan penyediaan gaun perkahwinan Nicola pada saat-saat akhir, walaupun Nicola begitu teruja untuk mengenakan rekaan terbabit, sekali gus memaksanya mencari gaun baharu dalam keadaan tergesa-gesa.

"Beberapa minggu sebelum hari perkahwinan, ibu bapa saya berulang kali menekan dan cuba menyogok saya supaya menandatangani perjanjian melepaskan hak ke atas nama saya, yang akan memberi kesan kepada saya, isteri serta anak-anak kami pada masa hadapan.

"Mereka berkeras mahu saya menandatangani perjanjian itu sebelum tarikh perkahwinan kerana terma perjanjian akan berkuat kuasa sebaik sahaja ditandatangani.

"Keengganan saya menjejaskan bayaran yang mereka harapkan, dan sejak itu mereka tidak lagi melayan saya seperti dahulu," dakwanya.

Brooklyn turut mendedahkan bahawa malam sebelum perkahwinan, ahli keluarganya memberitahu bahawa Nicola bukan sebahagian daripada keluarga mereka.

"Sejak saya mula mempertahankan diri dalam keluarga, saya menerima serangan tanpa henti daripada ibu bapa saya, sama ada secara peribadi mahupun terbuka, yang disalurkan ke media atas arahan mereka.

"Malah, adik-beradik lelaki saya turut diarahkan menyerang saya di media sosial sebelum mereka tiba-tiba menyekat saya pada musim panas lalu," katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu mendakwa isterinya berulang kali diperlakukan dengan tidak hormat walaupun mereka berusaha mengekalkan hubungan kekeluargaan.

"Ibu saya juga berulang kali mengundang wanita daripada masa lalu saya ke dalam kehidupan kami dengan cara yang jelas bertujuan menimbulkan rasa tidak selesa.

"Walaupun begitu, kami tetap ke London bagi meraikan hari lahir ayah saya, namun kami dipinggirkan selama seminggu ketika menunggu di hotel sambil cuba merancang masa berkualiti bersamanya.

"Dia menolak semua usaha kami kecuali jika ia berlangsung di majlis hari lahirnya yang besar dengan kehadiran ratusan tetamu serta kamera di setiap penjuru.

"Apabila dia (David) akhirnya bersetuju untuk bertemu saya, namun dengan syarat Nicola tidak dijemput. Ia benar-benar satu penghinaan," katanya.

Brooklyn dan Nicola yang menetap di Amerika Syarikat sejak perkahwinan mereka pada 2022 menegaskan dakwaan bahawa isterinya mengawal hidup beliau adalah tidak benar.

"Hakikatnya, saya dikawal oleh ibu bapa saya dan membesar dengan keresahan melampau.

"Buat pertama kali dalam hidup, sejak menjauhkan diri daripada keluarga saya, keresahan itu hilang.

"Setiap pagi saya bangun dengan rasa syukur atas kehidupan yang saya pilih, dan saya akhirnya menemui ketenangan serta kelegaan," katanya.

Brooklyn menegaskan beliau dan isterinya hanya menginginkan kehidupan yang aman tanpa dibentuk oleh imej, liputan media atau manipulasi.

"Apa yang kami inginkan hanyalah keamanan, privasi dan kebahagiaan untuk kami serta keluarga yang bakal dibina."

 

+ - reset