Berita Berita
'Rakyat mahu kita bekerja bela nasib mereka, bukan bergaduh sesama sendiri' - Shahidan tegur pemimpin PN Perlis
KANGAR 3 Feb – Semua pemimpin dan ahli parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) Perlis diminta menghentikan budaya kecam-mengecam sesama sendiri di media sosial kerana tindakan itu disifatkan boleh melemahkan parti serta menjejaskan kepercayaan rakyat.
Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perbalahan terbuka dalam kalangan rakan seperjuangan bukan sahaja mencemarkan imej parti, malah menjejaskan kekuatan jentera politik, khususnya ketika PN sedang membuat persiapan menghadapi pilihan raya.
Menurutnya, budaya saling mengkritik antara pimpinan PN Perlis di platform digital dilihat semakin berleluasa dan hanya menguntungkan pihak lawan.
"Bila kita serang sesama sendiri, musuh tidak perlu buat apa-apa dan keadaan ini langsung tidak memberi faedah kepada parti.
"Peranan media sosial yang besar dalam membentuk persepsi rakyat menuntut semua pemimpin bersikap lebih matang dan berdisiplin ketika menyampaikan pandangan atau kritikan.
"Pertelingkahan dalaman yang dipamerkan secara terbuka boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat, sekali gus menyukarkan usaha mendapatkan sokongan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa PN Perlis di pejabatnya di Pengkalan Asam, di sini malam tadi.
Shahidan berkata, kekuatan parti bergantung kepada keyakinan rakyat dan sekiranya imej PN rosak akibat isu dalaman, ia akan memberi kesan besar kepada persiapan menghadapi pilihan raya.
"Kita hendak ingatkan bahawa tindakan tegas boleh diambil mengikut peruntukan perlembagaan parti sekiranya disiplin terus dilanggar.
"Keutamaan parti seharusnya tertumpu kepada isu rakyat termasuk kos sara hidup, jurang pendapatan dan peluang pekerjaan, bukannya perbalahan dalaman.
"Rakyat mahu melihat kita bekerja dan membela nasib mereka, bukan bergaduh sesama sendiri," katanya.
Beliau menegaskan, semangat perpaduan serta kerjasama dalam kalangan ahli perlu terus diperkukuh bagi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat dapat dipelihara.
Walaupun tidak menyebut mana-mana individu secara khusus, umum mengetahui terdapat segelintir pimpinan PAS Perlis yang dilihat kerap mengeluarkan hantaran di Facebook (FB) mengkritik pelbagai pihak dalam PAS dan Bersatu Perlis termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin serta Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.
Situasi itu dikatakan susulan kemelut politik yang melanda negeri berkenaan sehingga menyebabkan Menteri Besar Perlis terdahulu, Mohd Shukri Ramli meletakkan jawatan.
Malah, dalam siri hantaran kritikan di FB berkenaan, pemimpin PAS Perlis itu turut dilihat berterusan mencerca, menyindir serta membina naratif negatif terhadap tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang diberhentikan keahlian mereka pada 24 Disember lalu.
Berita berkaitan
February 3, 2026, 8:21 pm
Warga asing disyaki bersenjata ‘pistol’ ditahan di kondominium, polis siasat motif sebenar
February 3, 2026, 5:32 pm
Suspek tikam ibu sampai mati di Alor Setar ada masalah kewangan, polis cari senjata digunakan
February 3, 2026, 5:28 pm
Warga emas maut dirempuh kereta ketika ke surau untuk solat Maghrib
February 3, 2026, 5:20 pm
Anwar hilang sabar: pegawai lindungi penyeludupan e-waste akan diambil tindakan tanpa kompromi
February 3, 2026, 5:06 pm
Penunggang motosikal maut dirempuh kereta selepas hantar isteri ke tempat kerja
February 3, 2026, 4:57 pm
JKN Negeri Sembilan siasat dakwaan restoran guna semula sisa makanan pelanggan
February 3, 2026, 4:45 pm
Sultan Selangor murka, mahu dalang bakar suar di Jambatan Angkat diberi hukuman maksimum
February 3, 2026, 4:43 pm
