TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Berapa banyak wang rampasan SPRM ‘ghaib’ dicuri orang dalam? - Puad Zarkashi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 Feb - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan tahap integriti dan kawalan dalaman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pendedahan kes kehilangan wang eksibit bernilai AS$6.94 juta yang dicuri oleh pegawai kanan agensi itu sendiri.

Beliau berkata, persoalan besar yang perlu dijawab ialah berapa banyak wang rampasan atau sitaan SPRM yang telah hilang, sama ada akibat kecuaian atau perbuatan jenayah orang dalam, namun tidak pernah didedahkan kepada umum.

Isu itu dibangkitkan susulan pendedahan mengejutkan mengenai seorang pegawai kanan SPRM yang didakwa mencuri wang eksibit berkenaan bagi membeli pelbagai aset peribadi mewah termasuk rumah, kereta Mercedes, jam Rolex, motosikal Ducati dan lain-lain barangan mewah.

Menurut Mohd Puad, wang tersebut pada asalnya dirampas daripada bekas Ketua Pengarah Malaysian External Intelligence Organisation (MEIO), Datuk Hasanah Abd Hamid, sebelum disimpan sebagai bahan bukti siasatan.

“Namun selepas Hasanah dibebaskan daripada pertuduhan, pemeriksaan mendapati wang itu sudah hilang dan digantikan dengan wang palsu.

“Bagaimana perkara ini boleh berlaku dalam bangunan SPRM sendiri? Berapa banyak lagi kes seumpama ini yang berlaku tetapi tidak dilaporkan?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana wang tunai berjumlah jutaan dolar itu boleh dicuri, diseludup keluar dan digunakan tanpa dikesan, sekali gus menimbulkan tanda tanya serius terhadap sistem keselamatan dan pemantauan dalaman SPRM.

Sehubungan itu, Mohd Puad menggesa pertubuhan pemantau seperti Malaysian Corruption Watch (MCW) agar tidak bersikap selektif, sebaliknya menyiasat isu tersebut secara menyeluruh demi memastikan akauntabiliti dan ketelusan benar-benar ditegakkan.

“Jika agensi antirasuah sendiri gagal menjaga wang rampasan, bagaimana rakyat mahu yakin terhadap komitmen memerangi rasuah?” katanya.

+ - reset