TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nisfu Syaaban detik penting umat Islam muhasabah diri - Anwar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam di negara ini untuk memperbanyakkan zikir serta berdoa memohon keampunan dan perlindungan daripada segala bentuk kesusahan, bala dan bencana.

Beliau berkata, malam Nisfu Syaaban antara detik penting untuk umat Islam melakukan muhasabah diri, di samping mengingatkan bahawa bulan Ramadan Al-Mubarak kini semakin hampir.

"Tiada lebih bererti selain persiapan kerohanian yang rapi, kita akan jalani kembali madrasah Ramadan dengan cita-cita amalan kita akan lebih baik dari sebelumnya," katanya melalui Facebook, hari ini. 

Anwar menegaskan, amalan ibadah yang dilakukan secara istiqamah bukan sahaja mampu membentuk ketenangan jiwa, malah berperanan membersihkan hati daripada sifat kebencian, hasad dengki serta perasaan dendam yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat.

Dalam pada itu, Anwar mengajak umat Islam menghayati doa dalam Surah Al-Hashr ayat 10 sebagai panduan membina hati yang bersih dan penuh kasih sayang sesama insan.

"Insya-Allah dengan amalan dan ketekunan ibadah yang dilakukan secara istiqamah memupuk hati yang sentosa daripada segala jenis kebencian, perasan hasad dengki, mempersiap jiwa dan raga mencari kebahagiaan abadi " katanya.

+ - reset