TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ganggu penumpang wanita: Lesen PSV pemandu Grab dibatalkan serta-merta

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 3 Feb – Kerajaan tidak berkompromi terhadap isu keselamatan penumpang apabila lesen pemandu Grab yang terlibat dalam kes gangguan seksual di Johor Bahru dibatalkan serta-merta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menarik balik Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu terbabit, sekali gus melarang individu itu daripada beroperasi di semua platform e-hailing.

“Tindakan ini bermakna pemandu berkenaan tidak lagi dibenarkan menjadi pemandu e-hailing di mana-mana platform,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memanggil semua pengendali e-hailing, termasuk Grab, bagi membentangkan pelan tindakan penambahbaikan khusus untuk memperkukuh keselamatan penumpang.

Anthony menegaskan, kementerian itu tidak akan bertoleransi terhadap sebarang perbuatan yang mengancam keselamatan, maruah dan kesejahteraan pengguna perkhidmatan awam.

“MOT bersedia memberikan sokongan penuh kepada mangsa dan memastikan tindakan undang-undang diambil oleh pihak polis terhadap pelaku,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video rakaman penumpang wanita yang memaparkan seorang pemandu e-hailing bertindak tidak senonoh ketika perjalanan, termasuk cuba menyentuh mangsa serta mengeluarkan soalan berunsur seksual.

Rakaman tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai dan sekali lagi membangkitkan persoalan tentang tahap saringan, pemantauan serta akauntabiliti pemandu e-hailing.

Tindakan pantas MOT dilihat sebagai isyarat jelas bahawa keselamatan penumpang bukan perkara boleh dirunding, dan sebarang salah laku akan berdepan hukuman tegas tanpa kompromi.

+ - reset