Berita Jenayah
Bekas pengetua madrasah di Johor dipenjara 112 tahun, 32 sebatan mengaku bersalah cabul 6 pelajar lelaki bawah umur dalam tandas
MUAR 18 Ogos - Seorang bekas pengetua madrasah dijatuhi hukuman penjara 112 tahun dan 32 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas 16 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar lelaki tiga tahun lalu.
Menurut laporan Berita Harian, Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Hadi Harun, 37, selepas meneliti rayuan serta hujahan pemberatan daripada kedua-dua pihak.
Mengikut keputusan, tertuduh dikenakan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, manakala dua tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 16 akta sama.
Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula dengan Seksyen 14, disusuli Seksyen 16.
Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara tujuh tahun, manakala sebatan dihadkan kepada 24 kali seperti ditetapkan Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang juga duda didakwa melakukan perbuatan itu terhadap enam pelajar lelaki berusia 12 hingga 13 tahun ketika kejadian.
Kesalahan dilakukan di tandas madrasah serta bilik air sebuah rumah di Batu Pahat, antara Mei hingga 29 Jun 2022 pada jam 3 pagi, 7 pagi dan 10.30 malam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a), (b) dan (d) serta dibaca bersama Seksyen 16 AKKSTKK 2017. Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16 pula menetapkan tambahan hukuman iaitu penjara maksimum lima tahun serta sekurang-kurangnya dua sebatan.
Mengikut fakta kes, pada 30 Jun 2022 jam 12.27 tengah hari, pengadu yang juga pihak pengurusan madrasah membuat laporan polis berhubung kejadian cabul membabitkan pelajar oleh tertuduh.
Bertindak atas laporan itu, polis mendapati kejadian melibatkan enam mangsa dan menahan tertuduh pada 9.45 malam hari sama.
Hasil siasatan juga menunjukkan tertuduh mengugut mangsa agar tidak mendedahkan perbuatannya kepada sesiapa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Razak Shariff.
Berita berkaitan
October 31, 2025, 3:01 pm
Konon mahu ubah nasib mangsa, sami dijel 15 tahun rogol remaja dalam kebun sawit
October 6, 2025, 7:09 pm
Polis buka kertas siasatan tatatertib terhadap pegawai dan anggota didakwa tawar sogokan RM500
October 1, 2025, 6:28 pm
Dua lelaki curi beg sekolah dari motosikal di Kluang
October 1, 2025, 12:17 pm
Dua lagi remaja ditahan kes serangan terhadap pemandu Myvi
September 30, 2025, 10:53 am
Sembilan remaja ditahan kes kepung dan serang Myvi di Serdang
September 29, 2025, 8:05 pm
Pemilik syarikat pakej perkahwinan tipu pelanggan lebih RM309,000 ditahan polis
September 29, 2025, 2:41 pm
(VIDEO) Penunggang motosikal cedera dirempuh Myvi pandu melulu di Kajang
September 25, 2025, 9:17 am
(VIDEO) Pemandu E-Hailing pandu melulu, hampir rempuh pejalan kaki ditahan polis
September 24, 2025, 11:27 am
