TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Rogol, liwat, dera sebelum rakam, polis tumpas sindiket pedofilia di Johor Bahru, 3 budak dan 2 bayi diselamatkan

By
|
Kongsi
image

 

 

JOHOR BAHRU 29 Ogos – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pedofilia selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang bekerja sebagai juruteknik di bandar raya ini.

Menurut laporan Sinar Harian, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata penahanan suspek dibuat selepas polis menemui puluhan rakaman video serta ratusan gambar penganiayaan seksual kanak-kanak dalam telefon bimbit miliknya.

“Susulan itu, satu operasi khas dijalankan antara 19 Julai hingga 19 Ogos bersama Unit Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC), Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman serta kerjasama antarabangsa.

“Hasil risikan membawa kepada beberapa siri serbuan di Johor Bahru, Selangor dan Pulau Pinang yang berjaya menahan 10 individu lain terdiri daripada warga tempatan, Indonesia, Myanmar dan Filipina, berusia 25 hingga 60 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.

Menurut Kumar, polis turut menyelamatkan tiga kanak-kanak perempuan dan dua bayi lelaki berusia antara dua bulan hingga lima tahun yang dipercayai berada dalam kawalan suspek utama untuk dijadikan bahan rakaman penderaan seksual.

Turut dirampas sijil kelahiran, kad pengenalan, buku rekod kehamilan dan borang kosong Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Siasatan awal mendapati suspek mendapatkan bayi melalui iklan di Facebook dengan tawaran anak angkat berbayar antara RM1,500 hingga RM3,500 selain menanggung kos bersalin ibu kandung.

“Bayi dan kanak-kanak tersebut kemudiannya digunakan untuk menghasilkan bahan penderaan seksual yang disebarkan melalui aplikasi Telegram dan laman gelap (dark web) bagi tujuan keuntungan dan pertukaran bahan.

“Selain itu, suspek turut melakukan rogol, liwat, amang seksual fizikal serta penderaan seksual terhadap kanak-kanak sebelum merakam perbuatan tersebut,” katanya.

Kumar menambah, siasatan mendapati suspek juga menyasarkan kanak-kanak perempuan di kawasan kejiranan secara rambang, khususnya yang ditinggalkan tanpa pengawasan orang dewasa.

Setakat ini, tiga mangsa perempuan berusia lima hingga tujuh tahun telah dikenal pasti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5, Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Polis menegaskan kegiatan pedofilia kini semakin membimbangkan dan menasihatkan ibu bapa agar lebih berwaspada terhadap keselamatan anak-anak.

+ - reset