Berita Jenayah
Remaja 16 tahun ditahan pandu kereta tanpa lesen
KUALA NERUS 10 Sept. – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan selepas memandu kereta tanpa lesen dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis dalam kejadian di Jalan Bandar Baru, di sini pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika anggota Unit Rondaan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu sedang menjalankan rondaan.
“Anggota ternampak sebuah Proton Wira kelabu dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum memberi isyarat berhenti. Namun suspek memecut laju dan cuba mengelak pemeriksaan.
“Dia malah memandu secara berbahaya termasuk menghimpit kereta peronda sehingga hampir melanggar anggota bertugas,” katanya dalam kenyataan, Rabu.
Menurut beliau, polis terpaksa mengeluarkan senjata api jenis HK MP5 sebagai amaran keras sebelum suspek akhirnya memperlahankan kenderaan dan berhenti.
Pemeriksaan mendapati remaja itu merupakan pelajar sekolah yang memandu kereta milik abangnya tanpa kebenaran. Tiada barang larangan dijumpai dalam badan atau kenderaan, manakala bapa suspek dipanggil ke lokasi sebelum remaja berkenaan dibawa untuk siasatan lanjut.
“Polis mengeluarkan saman atas kesalahan memandu tanpa lesen. Kes turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” jelas Wan Mohd Zaki.
Beliau turut menegaskan, memandu tanpa lesen serta cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa adalah kesalahan serius yang boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial berhubung kejadian berkenaan.
Terdahulu, sebuah video berdurasi 24 saat yang merakamkan adegan kejar-mengejar antara kereta polis dan kenderaan dipandu remaja itu tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi. - MediaTelus
Berita berkaitan
October 31, 2025, 3:01 pm
Konon mahu ubah nasib mangsa, sami dijel 15 tahun rogol remaja dalam kebun sawit
October 6, 2025, 7:09 pm
Polis buka kertas siasatan tatatertib terhadap pegawai dan anggota didakwa tawar sogokan RM500
October 1, 2025, 6:28 pm
Dua lelaki curi beg sekolah dari motosikal di Kluang
October 1, 2025, 12:17 pm
Dua lagi remaja ditahan kes serangan terhadap pemandu Myvi
September 30, 2025, 10:53 am
Sembilan remaja ditahan kes kepung dan serang Myvi di Serdang
September 29, 2025, 8:05 pm
Pemilik syarikat pakej perkahwinan tipu pelanggan lebih RM309,000 ditahan polis
September 29, 2025, 2:41 pm
(VIDEO) Penunggang motosikal cedera dirempuh Myvi pandu melulu di Kajang
September 25, 2025, 9:17 am
(VIDEO) Pemandu E-Hailing pandu melulu, hampir rempuh pejalan kaki ditahan polis
September 24, 2025, 11:27 am
