TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Ekonomi

Kerajaan dapat jimat RM5 bilion setahun hasil penyasaran semula subsidi diesel – MoF

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 22 Okt - Kerajaan berjaya menjimatkan kira-kira RM5 bilion setahun hasil pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel di bawah Program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang mula dilaksanakan pada 10 Jun 2024, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Dalam satu kenyataan di laman sesawang Parlimen semalam, MoF menjelaskan bahawa langkah itu telah mengurangkan tekanan fiskal negara serta membolehkan dana hasil penjimatan disalurkan semula kepada inisiatif sosial dan pembangunan produktif.

“Antara langkah proaktif kerajaan ialah menambah baik bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dengan peruntukan meningkat kepada RM13 bilion di bawah Belanjawan 2025, berbanding RM10 bilion sebelum ini, dan seterusnya kepada RM15 bilion melalui inisiatif Penghargaan SARA,” kata MoF.

Dana penjimatan turut digunakan bagi membiayai projek pembangunan yang meningkatkan keupayaan ekonomi negara, selain memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat.

Sehingga kini, MoF memaklumkan lebih 140,000 penerima BUDI Individu dan 180,000 penerima BUDI Agri-Komoditi telah diluluskan dengan jumlah bayaran masing-masing RM430 juta dan RM350 juta.

Bagi segmen pengangkutan darat barangan di bawah Program BUDI MySubsidi Diesel, sebanyak 121,618 syarikatmelibatkan 355,074 kenderaan diluluskan untuk menggunakan fleet card setakat 30 September 2025.

Kemudahan itu membolehkan kenderaan terlibat mendapatkan bekalan diesel pada harga RM2.15 seliter, sekaligus mengekang peningkatan mendadak kos logistik dan memastikan harga barangan keperluan kekal stabil.

RON95 bersubsidi beri manfaat kepada 12.4 juta rakyat

Selain itu, melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang dilancarkan pada September lalu, lebih 12.4 juta warganegara daripada 16.5 juta yang layak menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

Program itu melibatkan nilai jualan melebihi RM1.85 bilion, bersamaan penggunaan lebih 930 juta liter petrol setakat 21 Oktober 2025.

Dalam jawapan bertulis yang sama, Kementerian Ekonomi menjelaskan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU)digunakan sebagai sistem rujukan utama bagi pengesahan penerima subsidi oleh MoF.

“Berdasarkan data PADU, kerajaan boleh mengenal pasti kumpulan sasar bagi pelaksanaan program intervensi sosioekonomi yang lebih tepat dan berkesan,” menurut kenyataan itu.

Langkah penyasaran semula subsidi ini, kata kedua-dua kementerian, menandakan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap sen subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang layak, di samping memperkukuh kedudukan fiskal negara dalam jangka panjang.

+ - reset