TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PM gesa KKR bertindak tegas terhadap kontraktor lewat siapkan projek

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 8 Dis – Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap kontraktor yang didapati culas dan lewat menyiapkan projek, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap projek pembangunan di peringkat negeri dan Persekutuan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Menurutnya, pemantauan berterusan perlu dilaksanakan terhadap semua projek di seluruh negara dan tindakan sewajarnya mesti diambil sekiranya kontraktor dikenal pasti gagal mematuhi jadual pembinaan.

“Jangan tunggu hingga projek selesai. Kita kena ambil sikap lebih keras terhadap kontraktor kalau asyik sambil lewa dan lambat untuk memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual.

“Di peringkat negeri, sama ada Sabah, Sarawak, Perlis atau Kelantan, pegawai yang turun ke lapangan lebih memahami keperluan sebenar berbanding perancangan di peringkat atasan,” katanya ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga KKR sempena Himpunan Bulanan kementerian itu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan; serta Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim.

Projek lewat beri kesan langsung kepada rakyat

Anwar menegaskan bahawa tindakan terhadap kontraktor bermasalah amat penting kerana KKR bertanggungjawab menguruskan projek-projek pembangunan yang memberi impak langsung kepada rakyat.

“Misalnya, ada orang memerlukan jambatan itu siap pada Januari, tetapi tertangguh hingga Februari. Sebulan dia derita. Kalau tertangguh enam bulan, dia sengsara, tertangguh 10 bulan jadi dukalara.

“Banyak projek infrastruktur ini tonggaknya KKR. Saudara berjaya, berjayalah pembangunan itu,” ujarnya.

Perdana Menteri turut meminta KKR menyenaraikan semua projek yang sedang berjalan beserta rekod prestasi kontraktor yang terlibat, selain memastikan tindakan diambil sebelum kelewatan menjadi lebih serius.

Pegawai lapangan perlu diberi ruang bersuara

Pada masa sama, Anwar menggesa Ketua Setiausaha setiap kementerian memberi ruang kepada pegawai peringkat rendah dan kakitangan sokongan untuk memberi pandangan mengenai keperluan pembangunan di lapangan.

“Kadang-kadang kita luluskan projek bina sekolah, tetapi apabila turun ke lapangan, pegawai lihat jalan menuju ke sekolah itu sangat teruk. Ini tidak termasuk dalam projek.

“Jadi beri ruang kepada pegawai peringkat rendah untuk beri pandangan. Kita perlu pertimbangkan sebab kita bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

+ - reset