TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis Melaka beri kelonggaran peserta RXZ, tindakan tegas jika langgar undang-undang

By
|
Kongsi
image

AYER KEROH 13 Dis – Polis Melaka memberi kelonggaran kepada peserta RXZ Members Ride Edition 3.0 untuk berhimpun di negeri ini, namun menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam lumba haram atau tunggangan berbahaya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, seramai 150 anggota polis digerakkan bagi mengawal keselamatan sepanjang penganjuran program itu yang dijangka menghimpunkan antara 100,000 hingga 150,000 peserta.

Menurut beliau, tumpuan utama polis adalah memastikan keamanan serta keselamatan awam sepanjang acara berlangsung.

“Walaupun kelonggaran diberikan, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan melanggar undang-undang.

“Jika melibatkan lumba haram, tunggangan berbahaya atau perbuatan yang boleh membahayakan orang lain, tindakan tegas akan diambil.

“Bagi kesalahan lain, polis menggunakan budi bicara. Peserta datang dari jauh, biarlah semua pihak pergi dan balik dalam keadaan gembira,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Dataran MITC, di sini, malam Jumaat.

Dzulkhairi berkata, tiada sebarang penutupan jalan dilakukan sempena penganjuran program berkenaan, selain persiapan keselamatan telah dibuat sejak dua minggu lalu bagi memastikan kelancaran acara.

“Kita mahu memastikan tahap disiplin peserta, keselamatan diri dan kenderaan menjadi keutamaan.

“Peserta yang menginap di hotel atau penginapan sekitar Melaka juga dinasihatkan supaya menjaga keselamatan motosikal, aksesori kenderaan serta barangan peribadi bagi mengelakkan kejadian kecurian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan setakat ini satu kes kemalangan maut membabitkan peserta RXZ telah direkodkan, namun kejadian tersebut berlaku di Negeri Sembilan berhampiran sempadan Melaka.

Sementara itu, Ab Rauf dalam ucapan perasmian turut mengingatkan semua peserta supaya sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya.

“Kalau boleh, kita mahu pastikan sifar kemalangan dan sifar masalah dalam penganjuran ini pada masa akan datang. Oleh itu, semua peserta diharap mematuhi undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus menyantuni komuniti peminat motosikal dan menjadikan acara ini sebagai acara tahunan,” katanya.

+ - reset