TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pesta Pulau Pinang tahun ini yang terakhir sebelum berehat 6 tahun beri laluan projek LRT

By
|
Kongsi
image

 

 

GEORGETOWN 12 Dis - Pesta Pulau Pinang ke-59 akan menjadi edisi terakhir dianjurkan di Tapak Pesta Sungai Nibong sebelum lokasi itu direhatkan kira-kira enam tahun bagi memberi laluan kepada pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata langkah itu juga selaras dengan pelaksanaan projek Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) yang akan dijalankan oleh MRT Corp selaku pemaju.

“Tahun lalu saya memaklumkan bahawa edisi ke-58 mungkin menjadi yang terakhir, namun MRT Corp hanya akan mengambil alih tapak ini pada April 2026. Perkembangan itu membolehkan Pesta Pulau Pinang diteruskan untuk edisi ke-59,” katanya ketika merasmikan Pesta Pulau Pinang 2025/2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib, malam tadi.

Menurut Kon Yeow, Pesta Pulau Pinang berevolusi daripada sebuah karnival jualan sejak penganjurannya pada 1966 di Padang Kota Lama dan Lebuh Macallum, sebelum beroperasi sepenuhnya di Sungai Nibong pada 1974.

Katanya, acara tahunan yang menjadi simbol identiti negeri itu menarik antara 350,000 hingga 500,000 pengunjung setiap tahun.

Seiring penutupan sementara tapak bersejarah itu, nostalgia 59 tahun perjalanan Pesta Pulau Pinang diabadikan melalui pameran ‘Tradisi Merentasi Generasi’ anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri di Galeri Legasi Mutiara, termasuk mempamerkan koleksi tiket sejak 1978.

“Tapak pesta seluas 8.14 hektar ini lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti taman mini dan pavilion agensi kerajaan negeri termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, MBPP dan PDC.

“Ia juga melambangkan hubungan diplomatik apabila menempatkan Pavilion Sumatera Utara, Sumatera Barat, Acheh dan Thailand, manakala Pulau Pinang sendiri mempunyai pavilion di Tapak Medan Fair, Sumatera Utara,” katanya.

Pesta Pulau Pinang ke-59 berlangsung selama 36 hari bermula 6 Disember lalu hingga 10 Januari depan, bermula 6 petang hingga 11 malam pada hari bekerja serta 5.30 petang hingga 12 tengah malam pada hujung minggu dan cuti umum.

Acara kali ini menampilkan pelbagai persembahan artis retro dan moden seperti Kristal, Hattan, Zamani, XPDC, Awie, Ella, Ukays, Ara Johari dan Haziq, selain Malam Pesta Berselawat bersama kumpulan nasyid seperti Inteam dan UNIC serta Ustaz Don.

+ - reset