Berita Berita
Najib boleh jalani hukuman penjara di rumah serta-merta jika Titah Adendum memihaknya
KUALA LUMPUR – Sekiranya keputusan Titah Adendum di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin memihak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri itu akan menjalani baki hukuman penjara di rumah serta-merta.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pasukan pembelaan percaya Najib, 72, akan dibenarkan keluar tanpa sebarang kelewatan sekiranya keputusan memihak kepada anak guamnya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan terdapat beberapa prosedur yang perlu diselesaikan sebelum bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibenarkan meninggalkan Penjara Kajang.
“Isu yang akan timbul ialah di rumah mana anak guam akan ditempatkan dan siapa yang akan mengawal di lokasi berkenaan.
“Saya faham persiapan perlu dibuat di kediaman yang akan dipilih, namun saya percaya anak guam mesti dibenarkan pulang tanpa berlengah lagi,” katanya.
Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi pendengaran mengenai meritnya selepas menolak permohonan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan berkaitan Titah Adendum.
Mahkamah Persekutuan turut menolak rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib mengemukakan bukti baharu bagi menyokong kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Januari 2024.
Bekas Presiden UMNO itu memohon perintah mandamus supaya responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan berkenaan.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Beliau turut memohon perintah agar sekiranya dokumen tambahan itu wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di ibu negara bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 3 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, dengan memutuskan empat afidavit yang dikemukakan bagi menyokong dakwaannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas menolak rayuannya.
Beliau memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Berita berkaitan
December 18, 2025, 9:05 pm
Budak 3 tahun lebam mata ditumbuk anak pengasuh berusia 18 tahun di Batu Muda
December 18, 2025, 7:41 pm
Salji turun di Arab Saudi
December 18, 2025, 7:30 pm
Kerajaan umum tiada kenaikan kadar tol tahun depan
December 18, 2025, 7:10 pm
Mayat ditemui di rumah kosong di Rembau
December 18, 2025, 5:14 pm
Prasarana tanggung rugi RM20.6 juta akibat kecurian kabel sejak 2023
December 18, 2025, 4:15 pm
Anwar beri peringatan tegas kepada menteri baharu, tiada tempoh bulan madu
December 18, 2025, 4:04 pm
Anwar ingatkan timbalan menteri galas amanah sebaik mungkin
December 18, 2025, 3:57 pm
Warden penjara ditemui mati di ruang tamu rumah dinaiki air di Kuantan
December 18, 2025, 2:56 pm
