TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar beri peringatan tegas kepada menteri baharu, tiada tempoh bulan madu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas kepada menteri yang baharu dilantik atau bertukar portfolio supaya meneliti secara menyeluruh aspek pengurusan serta dasar kementerian masing-masing sebelum membuat sebarang keputusan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, walaupun Perdana Menteri tidak menetapkan sebarang tempoh khusus, namun jelas tiada tempoh bulan madu diberikan kepada anggota Jemaah Menteri yang baharu.

Menurutnya, perkara itu ditegaskan Anwar dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

“Perdana Menteri mengalu-alukan semua menteri baharu dan memberi peringatan tegas supaya tidak membuat keputusan dalam tempoh terlalu singkat.

“Sebaliknya, menteri diminta memberi ruang kepada pegawai serta penjawat awam untuk menyampaikan pandangan sebelum sebarang keputusan dasar dibuat.

“Namun, tiada tempoh khusus diberikan, tetapi sangat jelas ‘no honeymoon’ kepada rakan-rakan menteri baharu,” katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Auditorium Seri Angkasa, Kompleks Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.

Fahmi berkata, terdapat menteri baharu yang masih belum benar-benar memahami sistem serta tatacara Mesyuarat Jemaah Menteri, justeru penelitian sedang dibuat bagi memastikan kefahaman menyeluruh sebelum sebarang keputusan penting diambil.

Bagaimanapun, beliau yakin Perdana Menteri akan memantau perkara itu secara dekat melalui Mesyuarat Jemaah Menteri bagi memastikan sebarang isu pentadbiran dalam kalangan anggota Kabinet dapat diuruskan dengan segera.

Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan satu pemukiman Jemaah Menteri akan diadakan pada Januari tahun depan bagi memastikan hala tuju, objektif dan matlamat kerajaan yang digariskan Perdana Menteri dapat difahami sepenuhnya oleh semua anggota Kabinet.

“Pemukiman ini juga bertujuan memberi ruang kepada semua menteri membuat persiapan rapi bagi menghadapi cabaran serta pelaksanaan agenda kerajaan bagi tahun 2026,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan rombakan Kabinet membabitkan 28 menteri dan timbalan menteri merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu sebagai langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran dan memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.

Rombakan itu turut melibatkan enam timbalan menteri dan satu muka baharu yang diangkat sebagai menteri penuh.

+ - reset