TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Wakil rakyat boleh cuba duduk sebelah ladang babi, rasai pengalaman sebenar penduduk' - Sultan Selangor

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 11 Jan - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah secara tegas menzahirkan rasa dukacita serta tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk memindahkan operasi penternakan babi ke Bukit Tagar, Hulu Selangor menjelang tahun 2030.

Ketegasan baginda itu berikutan kemungkinan projek tersebut bakal melibatkan skala besar dan berorientasikan eksport, yang dianggap tidak selari dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat di negeri ini.

Secara prinsipnya, baginda akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal untuk memenuhi keperluan sumber makanan rakyat berbangsa Cina dan bukan Islam di Selangor.

Namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya adalah populasi orang Melayu Islam.

Baginda juga menzahirkan kebimbangan memandangkan kawasan Kuala Langat didiami oleh ramai penduduk Melayu, dan sehingga ke hari ini, masalah berkaitan penternakan babi di kawasan terbabit masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.

Penduduk sekitar sudah lama menanggung pelbagai kesan negatif termasuk bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai, serta masalah lalat yang tidak berkesudahan, yang menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan awam.

Menerusi titah kenyataan yang sama, baginda turut mendedahkan bahawa kediaman baginda, Istana Pantai Bahagia yang terletak di Kuala Langat, turut terkesan secara langsung dengan pencemaran bau daripada aktiviti tersebut.

Baginda menegaskan bahawa adalah tidak munasabah untuk isu yang berlarutan lebih sedekad ini dibiarkan berulang dalam skala yang lebih besar.

Untuk itu, baginda mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat serta menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti yang dialami oleh penduduk sekitar.

Atas sebab itu juga, baginda tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan kawasan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi sebelum berpindah ke Bukit Tagar kerana bimbang masalah pencemaran yang sudah berlarutan di kawasan itu sejak 16 tahun lalu akan menjadi lebih buruk.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut mempersoalkan sama ada perancangan projek penternakan babi berskala besar ini membabitkan kepentingan kelompok ahli politik dan ahli perniagaan tertentu, serta menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus dalam proses perancangan serta kelulusan projek berkenaan.

Baginda turut mengimbas kembali inisiatif kerajaan negeri terdahulu yang pernah mengkaji penternakan moden di luar negara, namun kos pemodenan tersebut dilaporkan terlalu tinggi untuk ditanggung oleh pengusaha.

Sultan Selangor turut mempersoalkan cadangan terbaharu ini sama ada ia akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri, sedangkan peruntukan itu lebih bermanfaat disalurkan untuk pembangunan kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan hospital.

Baginda menegaskan bahawa baginda tidak membantah sepenuhnya cadangan projek berkenaan, namun kajian pasaran harus dibuat dengan teliti dan rasional sebelum ketetapan muktamad dibuat kerana pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim memaklumkan penternakan babi hanya dibenarkan di Ladang Tumbuk, Tanjong Sepat buat masa ini.

Langkah tersebut diambil bagi memudahkan penyelarasan kawalan penyakit seperti demam babi Afrika (ASF) untuk tempoh tiga tahun sebelum semua operasi dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar.
 

 

+ - reset